Berita

“PSUK Pahang Cemerlang Urus Aduan Rakyat”

Kongsi
“PSUK Pahang Cemerlang Urus Aduan Rakyat”

KUANTAN: Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang (PSUK Pahang) meraih enam penarafan dalam Pengurusan Aduan Awam Peringkat Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri hasil naziran yang dilaksanakan Biro Pengaduan Awam (BPA), Jabatan Perdana Menteri.

Pencapaian itu melibatkan penilaian terhadap 13 Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di seluruh negara.

Enam kategori yang diraih PSUK Pahang ialah Kecekapan Respons Awam, Kecekapan Penyampaian Perkhidmatan, Pemerkasaan Kompetensi Pengurusan Aduan, Tadbir Urus Pengurusan Aduan, Komunikasi Awam Strategik dan Keunggulan Inovasi Digital.

Pengiktirafan berkenaan disampaikan pada Majlis Apresiasi Penarafan Pengurusan Aduan Awam Peringkat Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri yang berlangsung di Dewan Damar Sari 3, Kompleks F, Putrajaya pada 1 Oktober lalu.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menyampaikan pengiktirafan itu kepada Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang (Pengurusan), Dato’ Ts. Gs. Dr. Mohd Zakaria Ibrahim yang menerimanya bagi pihak PSUK Pahang.

Pencapaian tersebut mencerminkan usaha berterusan pentadbiran negeri memperkukuh sistem pengurusan aduan bagi memastikan setiap isu dan maklum balas rakyat dapat ditangani secara lebih cekap, telus dan bertanggungjawab.

Kerajaan Negeri Pahang turut menyediakan Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) sebagai saluran rasmi untuk orang ramai mengemukakan aduan, cadangan, pertanyaan serta penghargaan kepada jabatan dan agensi kerajaan.

Sistem berkenaan membolehkan rakyat menyalurkan maklum balas secara dalam talian serta memantau urusan aduan tanpa perlu bergantung kepada kaedah konvensional.

Kejayaan memperoleh enam penarafan itu sekali gus mengukuhkan komitmen PSUK Pahang untuk memastikan penyampaian perkhidmatan awam terus responsif terhadap keperluan rakyat.– JELAIPOST

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.