foto: UMNO Online
KUALA LUMPUR: Tiada parti politik boleh lagi menganggap mana-mana kelompok pengundi sebagai ‘fixed deposit’ mereka kerana corak pilihan rakyat kini semakin mudah berubah.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pengundi boleh membuat keputusan berbeza antara Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) berdasarkan calon, prestasi kerajaan, isu setempat serta keadaan ekonomi.
Menurutnya, perubahan tersebut paling ketara dalam kalangan generasi muda yang tidak terikat secara kekal dengan mana-mana parti politik.
“Kalau bahasa politik kita masih terperangkap pada zaman lalu sedangkan mereka hidup dalam dunia TikTok, Threads, kecerdasan buatan dan ekonomi gig, maka bukan mereka yang akan menunggu kita — kita yang akan ditinggalkan oleh mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada BN Forum Ke-11 di Auditorium UMNO, Menara Dato’ Onn, malam tadi.
Ahmad Zahid turut mengingatkan UMNO supaya tidak terlalu cepat menganggap pengundi Melayu sudah kembali sepenuhnya kepada parti itu.
Katanya, sokongan yang diberikan mungkin merupakan satu lagi peluang dan kepercayaan tersebut boleh ditarik semula sekiranya parti gagal, leka atau bersikap angkuh.
Pada masa sama, BN perlu terus berada di jalur politik sederhana dengan mempertahankan kepentingan Melayu, Bumiputera dan Islam tanpa mengabaikan hak seluruh rakyat Malaysia.-JELAIPOST