Foto: Facebook Menteri Besar Pahang
KUALA LIPIS – Kerajaan Pahang mengambil pendekatan lebih tegas terhadap penerokaan tanah haram dengan membawa kes ke mahkamah selepas mendapati tindakan kompaun masih belum membendung kegiatan berkenaan.
Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail berkata, penguatkuasaan diperkukuh bagi melindungi khazanah negeri serta mengelakkan kehilangan hasil kerajaan.
Menurutnya, Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) memainkan peranan membanteras pencerobohan tanah, pembalakan haram dan kecurian pasir di seluruh negeri.
Beliau menjelaskan perkara itu pada Program Town Hall Rakyat Sinar Harian bersama Menteri Besar Pahang yang dikendalikan hos Abu Talib Husin di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuala Lipis pada Isnin, 26 Oktober 2026.
Wan Rosdy berkata, tindakan lebih tegas itu bertujuan menghentikan pelanggaran undang-undang dan mempertahankan kepentingan negeri.
Menurutnya, kerajaan negeri mahu kegiatan tersebut dihentikan atau sekurang-kurangnya dikurangkan ke tahap minimum.
Beliau turut menekankan keperluan kerjasama seluruh jentera pentadbiran bagi memastikan penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan berkesan.
