Foto: Facebook Fadzli Kamal
KLANG: Pahang membuktikan kehebatannya dalam sukan hoki apabila menyapu bersih dua pingat emas kategori lelaki dan wanita pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, hari ini.
Dalam perlawanan akhir di Stadium Hoki MBDK, Pandamaran, skuad lelaki Pahang menewaskan Pulau Pinang 3-2 menerusi aksi sengit untuk muncul juara.
Kecemerlangan itu diteruskan skuad wanita apabila menundukkan Wilayah Persekutuan 6-5 menerusi penentuan penalti ‘shoot-out’ yang mendebarkan.
Penjaga gol Pahang, Qistina Syamimi Mohamad Rozlan muncul wira selepas mempamerkan ketangkasan dan ketenangan dalam penentuan tersebut.
Lebih membanggakan, kejayaan itu menyaksikan skuad wanita Pahang mencipta sejarah sebagai pasukan pertama memenangi pingat emas hoki dalam tiga edisi SUKMA berturut-turut.
Pencapaian membanggakan berkenaan dikongsikan Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang,YB Dato’ Fadzli Mohamad Kamal menerusi Facebooknya, malam ini.
Kejayaan berganda itu sekali gus mengharumkan nama Pahang di pentas sukan negara serta membuktikan keberkesanan program pembangunan sukan negeri dalam melahirkan barisan atlet muda berkualiti dan berdaya saing.
Dua emas berkenaan pastinya menjadi antara pencapaian paling manis kontinjen Pahang pada temasya kali ini, selain mengukuhkan kedudukan negeri itu sebagai jaguh hoki negara.-JELAIPOST