Berita

Pahang Aktifkan Semula Pemfluoridaan Air Awam, Mencegah Kerosakan Gigi

Kongsi
Pahang Aktifkan Semula Pemfluoridaan Air Awam, Mencegah Kerosakan Gigi

Foto: Facebook Ir. Razali Kassim

PEKAN: Kerajaan Negeri Pahang mengaktifkan semula Program Pemfluoridaan Bekalan Air Awam sebagai langkah memperkukuh tahap kesihatan pergigian rakyat, khususnya bagi mencegah masalah karies atau kerosakan gigi.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Dato’ Ir. Razali Kassim berkata, peluncuran program di Loji Rawatan Air (LRA) Ganchong di sini menandakan bermulanya kembali pemfluoridaan air secara terkawal selepas liputannya terhenti sejak 2020.

Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan rakyat mendapat manfaat daripada kaedah pencegahan kesihatan awam yang berkesan dan boleh dinikmati oleh seluruh lapisan masyarakat.

“Usaha meningkatkan kesihatan rakyat bukan hanya tertumpu kepada penyediaan rawatan apabila mereka jatuh sakit.

“Langkah pencegahan yang berkesan dan mampu dinikmati oleh seluruh masyarakat juga mesti diberikan keutamaan,” katanya.

Beliau berkata, program berkenaan akan dilaksanakan mengikut piawaian dan paras fluorida yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, pemantauan rapi serta berterusan turut dilakukan bagi memastikan kualiti dan keselamatan bekalan air kepada pengguna sentiasa terjamin.

“Program ini memberi manfaat secara menyeluruh tanpa mengira latar belakang atau kedudukan ekonomi kerana rakyat menerima perlindungan kesihatan pergigian melalui bekalan air awam yang digunakan setiap hari,” katanya.

Razali berkata, pemfluoridaan bekalan air telah dilaksanakan di Malaysia sejak 1972 dan diiktiraf sebagai antara pendekatan berkesan untuk membantu mengurangkan kerosakan gigi dalam masyarakat.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada KKM, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, Pengurusan Air Pahang Berhad serta semua pihak yang bekerjasama menjayakan pelaksanaan semula program tersebut.

“Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh kerjasama antara agensi bagi memastikan program ini dilaksanakan secara tersusun, selamat dan diperluaskan secara berperingkat demi kesihatan serta kesejahteraan rakyat Pahang,” katanya.

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.