Berita

Ops Nafkah: RM13,800 Bantu Enam Penerima, 130 Keluarga Terima Sumbangan

Kongsi
Ops Nafkah: RM13,800 Bantu Enam Penerima, 130 Keluarga Terima Sumbangan

KUANTAN, 13 Oktober 2026 – Seramai enam penerima menerima bantuan kewangan berjumlah RM13,800 menerusi Program Ops Nafkah: Waris Peduli, Keluarga Sejahtera Peringkat Negeri Pahang 2026, sebagai usaha meringankan beban kewangan keluarga yang memerlukan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, bantuan berkenaan akan disalurkan secara ansuran selama enam bulan, selain sumbangan bakul makanan kepada 130 penerima dalam program sama.

Menurut beliau, tanggungjawab menyediakan nafkah bukan sekadar kewajipan di sisi undang-undang, sebaliknya amanah agama yang mesti ditunaikan bagi menjamin kebajikan dan kesejahteraan institusi keluarga.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Ops Nafkah: Waris Peduli, Keluarga Sejahtera Tahun 2026 Peringkat Negeri Pahang di Hotel Sri Manja, di sini, hari ini.

Syed Ibrahim menegaskan, kesedaran mengenai tanggungjawab nafkah perlu diperkukuh supaya hak ahli keluarga, khususnya mereka yang bergantung kepada bantuan kewangan, tidak diabaikan.

Katanya, program berkenaan bukan hanya memberi penekanan kepada bantuan kebajikan, malah bertujuan meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai tanggungjawab yang ditetapkan oleh agama dan perundangan.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata Kerajaan Negeri Pahang di bawah kepimpinan Menteri Besar, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail, terus memberi perhatian kepada kebajikan golongan memerlukan, termasuk ibu tunggal, menerusi pelbagai inisiatif Aspirasi Pahang 1st.

Antaranya, usaha memperluas bantuan kepada ibu tunggal sebagaimana sumbangan yang disalurkan kepada imam, bilal, siak dan guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).

Beliau turut memaklumkan cadangan supaya manfaat kad kesihatan yang diperkenalkan Kerajaan Negeri diperluaskan kepada golongan ibu tunggal, sekali gus membantu mengurangkan beban perbelanjaan rawatan mereka.

Bagaimanapun, cadangan berkenaan masih memerlukan pertimbangan lanjut sebelum sebarang pelaksanaan diumumkan.

Penganjuran Ops Nafkah turut menjadi platform memperkukuh kerjasama antara institusi kehakiman syariah dengan Kerajaan Negeri dalam menangani isu tanggungjawab nafkah serta memastikan kebajikan keluarga yang terkesan mendapat perhatian.

Usaha itu memberi penekanan kepada dua aspek penting, iaitu penguatkuasaan tanggungjawab nafkah dan penyediaan bantuan kepada golongan yang berdepan kesulitan kewangan.-JELAIPOST

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.