Berita

MB Lulus RM30,000 Naik Taraf Kemudahan Sukan FELDA Chini 5

Kongsi
MB Lulus RM30,000 Naik Taraf Kemudahan Sukan FELDA Chini 5

CHINI, 4 NOVEMBER 2026 – Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail meluluskan peruntukan RM30,000 bagi menaik taraf padang futsal dan padang awam FELDA Chini 5 demi meningkatkan kemudahan riadah dan sukan untuk kegunaan masyarakat setempat.

Kelulusan itu dibuat sempena Program Jelajah Aspirasi Pahang 1st Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini yang turut memberi tumpuan kepada keperluan infrastruktur, kemudahan kesihatan dan bekalan air penduduk.

Peruntukan berkenaan dijangka dapat meningkatkan keselesaan serta menggalakkan penglibatan masyarakat, khususnya golongan belia, dalam aktiviti sukan dan kemasyarakatan.

Dalam jelajah sama, Wan Rosdy turut merasmikan Pusat Dialisis Chini di FELDA Chini 5 yang bakal memudahkan pesakit buah pinggang mendapatkan rawatan tanpa perlu menempuh perjalanan jauh ke pusat rawatan lain.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail merasmikan Pusat Dialisis Chini di FELDA Chini 5

“Besar harapan Tok Wan agar kemudahan ini dapat membantu pesakit dialisis di Chini dan kawasan sekitarnya mendapatkan rawatan dengan lebih mudah, tanpa perlu menempuh perjalanan yang jauh,”

“Inilah antara usaha kita supaya akses kepada perkhidmatan kesihatan tidak dibatasi oleh jarak dan lokasi,” katanya.

Beliau turut menyempurnakan pelepasan Konvoi Klinik Bergerak Negeri Pahang sebagai usaha memperluas akses perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat luar bandar dan pedalaman.

Sementara itu, Wan Rosdy turut meninjau Kolam Takungan di muka sauk Loji Rawatan Air FELDA Chini yang dijangka mampu menyediakan bekalan air sehingga 16 hari ketika musim kemarau kepada penduduk sekitar Chini.

Kemudahan berkenaan penting bagi memperkukuh jaminan bekalan air dan mengurangkan risiko gangguan bekalan ketika musim kemarau.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail meninjau Kolam Takungan di muka sauk Loji Rawatan Air FELDA Chini yang dijangka mampu menyediakan bekalan air sehingga 16 hari ketika musim kemarau kepada penduduk sekitar Chini.

Terdahulu, beliau meluangkan masa bersama penduduk menerusi program Kenduri Sekampung dan Sukan Rakyat di Padang Awam FELDA Chini 5, termasuk menyertai acara boling kelapa.

Jelajah Aspirasi Pahang 1st merupakan pendekatan Kerajaan Negeri untuk meninjau sendiri keperluan masyarakat di lapangan, mendengar permasalahan rakyat serta memastikan isu berkaitan kemudahan asas dan kesejahteraan penduduk diberikan perhatian.

Turut bersama dalam program berkenaan ialah barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, YB Dato’ Mohd Sharim Md Zain.-JELAIPOST

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.