KUANTAN: Lima agensi dan syarikat menyerahkan Cek Cura Hasil berjumlah RM46.71 juta kepada Kerajaan Pahang sempena Karnival Aspirasi Pahang 1st Peringkat Daerah Kuantan.
Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pengurusan hasil yang cekap, berhemah dan bertanggungjawab penting bagi memastikan pentadbiran negeri berjalan dengan baik.
“Pengurusan hasil yang cekap, berhemah dan bertanggungjawab penting bagi memastikan pentadbiran negeri berjalan dengan baik.
“Apa yang kita mahu ialah sumber yang ada dapat diuruskan dengan sebaik-baiknya bagi menyokong keperluan pembangunan dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” katanya sempena Sesi Santai Bersama Tok Wan pada karnival Aspirasi Pahang 1st Kuantan, di Kompleks Belia dan Sukan, pada Ahad.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, Dato’ Sabariah Saidan; serta Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, Dato’ Amizar Abu Adam.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar dan Pegawai Daerah Kuantan, Dato’ Mohd Faizal Jaafar.

Lima agensi dan syarikat yang terlibat ialah Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG), Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP), Yayasan Pahang, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Alliance Steel (M) Sdn. Bhd.
Beliau turut merakamkan penghargaan atas sumbangan hasil berkenaan serta berharap kerjasama kerajaan negeri dengan agensi dan pihak berkaitan terus diperkukuh.
Menurut Wan Rosdy, pembangunan negeri perlu diterjemahkan kepada manfaat yang boleh dirasai masyarakat dalam kehidupan seharian.
“Kita mahu pembangunan bukan sahaja dapat dilihat melalui kemudahan fizikal, tetapi turut dirasai melalui peluang ekonomi, perkhidmatan yang baik dan kehidupan masyarakat yang lebih sejahtera,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, bantuan SME Corp. Malaysia bagi Zon Timur yang disenaraikan menerusi program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) dan Dana Pemangkin Penskalaan PKS melibatkan keseluruhan RM305,000.
Jumlah itu merangkumi tujuh penerima TUBE dengan bantuan RM15,000 setiap seorang serta dua syarikat yang menerima RM100,000 setiap satu menerusi Dana Pemangkin Penskalaan PKS.
Beliau berharap bantuan tersebut dimanfaatkan untuk memperkukuh operasi, meningkatkan keupayaan perniagaan dan membuka peluang perkembangan pasaran.
Kuantan merupakan daerah kelima menganjurkan Karnival Aspirasi Pahang 1st tahun ini, yang turut menggabungkan Karnival Usahawan Pahang 1st, Kenduri Rakyat, Sukan Rakyat serta pelbagai aktiviti kemasyarakatan.-JELAIPOST
