Berita

Kerajaan Pahang Hargai Media, Junjung Keterbukaan

Kongsi
Wan Rosdy bersama pengamal media pada Malam Media Darul Makmur 2026 di Kuantan.

KUANTAN: Kerajaan Pahang mengalu-alukan pandangan, cadangan dan teguran membina daripada pengamal media sebagai ruang memperbaiki pentadbiran serta memastikan kepentingan rakyat terus diberikan perhatian.

Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keterbukaan menerima maklum balas penting kerana terdapat perkara yang mungkin tidak diketahui secara menyeluruh oleh pihak kerajaan.

”Keterbukaan menerima maklum balas penting kerana terdapat perkara yang mungkin tidak diketahui secara menyeluruh oleh pihak kerajaan,”

“Saya selaku ketua kerajaan, kalau sekiranya ada pandangan, cadangan daripada mana-mana pihak termasuk media, saya sangat mengalu-alukannya,” katanya ketika merasmikan Majlis Malam Media Darul Makmur 2026 di The Bayu Wedding And Event, di sini, malam tadi, yang meraikan lebih 60 pengamal media termasuk pempengaruh.

Menurut Wan Rosdy, pandangan yang membawa manfaat kepada negeri dan rakyat akan dipertimbangkan dalam usaha menambah baik pentadbiran.

Beliau menyifatkan teguran serta isu yang dibangkitkan media sebagai perkara lumrah yang turut membantu kerajaan mengenal pasti ruang penambahbaikan.

Sempena majlis itu, beliau turut menekankan bahawa hubungan antara kerajaan negeri dengan warga media perlu diperkukuh berlandaskan sikap saling menghormati, keterbukaan dan profesionalisme.

“Bagi saya, media bukan sekadar penyampai berita, malah merupakan rakan strategik kerajaan dalam membina kefahaman masyarakat, menyampaikan maklumat yang tepat serta memastikan suara dan aspirasi rakyat terus diberikan perhatian selaras dengan Aspirasi Pahang 1st,” katanya.

Beliau berkata, walaupun kerajaan dan pengamal media mempunyai peranan serta tanggungjawab berbeza, kedua-duanya berkongsi matlamat untuk melihat Pahang terus berkembang demi kesejahteraan rakyat.

Wan Rosdy turut merakamkan penghargaan kepada warga media atas komitmen menyampaikan maklumat berkaitan dasar, inisiatif dan pembangunan kerajaan negeri kepada masyarakat.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Fadzli Mohamad Kamal serta Pengarah Unit Komunikasi Strategik (UKS), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Azrinizam Ibrahim.-JELAIPOST

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.