PAHANG, 7 Nov – Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pahang akan membuat laporan polis bagi menggesa siasatan dijalankan terhadap kemungkinan wujudnya unsur mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong berhubung penangguhan pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Razak.
Pergerakan itu menegaskan, titah pengampunan bersyarat yang telah diperkenankan Seri Paduka Baginda wajib dihormati, lebih-lebih lagi selepas semua syarat ditetapkan dipenuhi termasuk pembayaran penuh denda RM50 juta pada 6 November 2026.
Dalam kenyataan media hari ini, Ketua Pemuda UMNO Pahang, Mohamad Kamil Ibrahim mempersoalkan asas perundangan yang digunakan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menangguhkan pelaksanaan tahanan rumah berkenaan meskipun Mahkamah Tinggi telah mengeluarkan Perintah Pelepasan pada tarikh sama.
”Titah pengampunan bersyarat yang telah diperkenankan Seri Paduka Baginda wajib dihormati, lebih-lebih lagi selepas semua syarat ditetapkan dipenuhi termasuk pembayaran penuh denda RM50 juta pada 6 November 2026.
“Apakah asas perundangan yang membolehkan pelaksanaan tahanan rumah terus ditangguhkan? AGC wajar menjelaskan bagaimana penangguhan tersebut dapat diselaraskan dengan arahan pelepasan yang telah dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi,” soal Mohamad Kamil.
Menurutnya lagi, Pemuda UMNO Pahang turut menjunjung kasih atas penjelasan Istana Negara yang menegaskan bahawa Perintah Pengampunan Bersyarat terhadap Najib adalah jelas, tanpa sebarang kekaburan dan tidak berkaitan dengan mana-mana kes lain.
Sehubungan itu, pergerakan berkenaan berpandangan sebarang tindakan yang boleh membawa kepada pengingkaran titah Seri Paduka Baginda perlu disiasat berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Keperluan mendapatkan tafsiran undang-undang tidak dengan sendirinya memberikan kuasa untuk menangguhkan pelaksanaan sesuatu perintah,” tegasnya lagi.
Pada masa sama, Pemuda UMNO Pahang mengambil maklum penjelasan AGC bahawa pihaknya tidak mempertikaikan Perintah Pengampunan Bersyarat, sebaliknya memohon penentuan mahkamah berhubung kesan Perintah Pelepasan terhadap hukuman Najib dalam kes SRC International dan 1MDB.
Bagaimanapun, pergerakan itu mempersoalkan sama ada langkah mendapatkan penentuan mahkamah berkenaan memberikan asas yang sah untuk menangguhkan pelaksanaan perintah pengampunan tersebut.
Pemuda UMNO Pahang menegaskan bahawa persoalan undang-undang tidak seharusnya dibiarkan berlarutan tanpa penghujung kerana setiap kelewatan mempunyai implikasi terhadap hak seseorang di sisi undang-undang.
“Setiap saat yang berlalu tanpa kepastian pelaksanaan melibatkan hak seseorang di sisi undang-undang. Setiap kelewatan mesti mempunyai asas yang sah, dan setiap keputusan mesti dipertanggungjawabkan,” menurut kenyataan itu lagi.
Terdahulu, AGC menjelaskan bahawa penangguhan sementara pelaksanaan tahanan rumah Najib bertujuan mendapatkan kepastian undang-undang dan bukan untuk mempertikaikan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong.
Pemuda UMNO Pahang menegaskan bahawa kuasa pengampunan Diraja, perintah mahkamah dan prinsip kedaulatan undang-undang hendaklah sentiasa dihormati, selain memastikan tidak berlaku sebarang tindakan yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.-JELAIPOST