KUANTAN: Sebanyak RM450,000 geran HIKMAH diperuntukkan kepada Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) bagi memperkukuh koperasi kariah masjid di Pahang serta mengembangkan kegiatan ekonomi yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan negeri, Dato’ Amizar Abu Adam berkata, jumlah itu melengkapkan keseluruhan peruntukan RM600,000 yang diluluskan Kerajaan Negeri Pahang bagi tahun 2026.
Menurutnya, geran RM450,000 berkenaan dibahagikan sama rata kepada tiga wilayah, iaitu Barat, Tengah dan Timur, dengan setiap wilayah menerima RM150,000.
“Dana ini bertujuan menyokong pembangunan dan pengukuhan koperasi kariah masjid supaya lebih berdaya saing, mampu menjana pendapatan serta memperluas aktiviti ekonomi yang memberi manfaat kepada ahli koperasi dan masyarakat setempat,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail yang sentiasa mengingatkan barisan EXCO supaya mengutamakan kepentingan dan kebajikan rakyat dalam melaksanakan amanah.
Usaha memperkukuh koperasi kariah masjid itu turut disokong melalui pembangunan tadbir urus dan keupayaan pengurusan.
Pada Jun lalu, Amizar memaklumkan sebanyak 87 koperasi kariah masjid telah ditubuhkan di Pahang ketika Program Intervensi Tadbir Urus dan Pembangunan Koperasi Kariah Masjid Negeri Pahang 2026. Program berkenaan memberi tumpuan kepada pengukuhan pengurusan dan pembangunan koperasi bagi menggerakkan ekonomi kariah secara lebih tersusun.
Antara contoh pelaksanaannya ialah Koperasi Kariah Masjid Imam Ash Shafie Kotasas Berhad (CO-MIASK) di Kuantan yang mengetengahkan projek perintis seperti cucian kenderaan, perkhidmatan percetakan dan alat tulis, stesen pengecasan kenderaan elektrik serta mesin layan diri.
Dalam laporan pada 15 Ogos lalu, kerajaan negeri turut menyediakan geran RM5,000 kepada CO-MIASK bagi menyokong pembangunan koperasi berkenaan. Inisiatif itu memperlihatkan ruang yang boleh diterokai koperasi masjid untuk menjana pendapatan melalui perkhidmatan yang diperlukan komuniti.-JELAIPOST