KUANTAN, 15 Oktober – Kerajaan Pahang bersedia membantu masyarakat Orang Asli di Kampung Kuala Serting dan Lubuk Tambangan, Bera, mengusahakan tanah bagi menjana pendapatan, namun pelaksanaannya masih tertangguh berikutan senarai nama peserta yang diperlukan belum diterima Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, kerajaan negeri tidak mempunyai halangan untuk membantu penduduk, asalkan pengusahaan tanah mendapat kelulusan pihak berkuasa dan mematuhi peraturan ditetapkan.
Menurutnya, senarai nama peserta perlu disahkan terlebih dahulu bagi memastikan manfaat pembangunan tanah benar-benar dinikmati penduduk asal yang layak, bukannya pihak lain yang tidak mempunyai kepentingan sah.
Penjelasan itu dibuat susulan rayuan bantuan kemanusiaan membabitkan masyarakat Orang Asli di kedua-dua kampung berkenaan, khususnya berkaitan peluang mengusahakan tanah sebagai sumber pendapatan.
Syed Ibrahim berkata, kerajaan negeri memerlukan tiga perkara utama sebelum bantuan dapat diteruskan, iaitu senarai peserta yang disahkan, pelan tanah yang hendak diusahakan serta permohonan rasmi JAKOA kepada pihak berkuasa negeri.
Katanya, keperluan tersebut bukan bertujuan menyukarkan penduduk, sebaliknya memastikan sebarang kelulusan dan agihan manfaat dibuat secara teratur serta melindungi kepentingan masyarakat Orang Asli sendiri.
Beliau turut mengakui wujud pertelagahan berkaitan tanah di beberapa kampung Orang Asli di Bera dan menyatakan kesediaan kerajaan negeri mengadakan rundingan dengan pihak berkuasa tanah bagi mencari penyelesaian.
Kerajaan negeri, jelasnya, bersimpati dengan keadaan penduduk dan mahu usaha membantu mereka diteruskan sebaik sahaja maklumat serta dokumen diperlukan dilengkapkan.
Bagaimanapun, setakat kenyataan terbaharu itu, senarai nama peserta masih belum diterima JAKOA, menyebabkan proses bantuan belum dapat dimuktamadkan.
Perkembangan ini meletakkan penyelarasan antara JAKOA, masyarakat setempat dan pihak berkuasa tanah sebagai langkah penting bagi membolehkan bantuan pembangunan ekonomi dilaksanakan tanpa menjejaskan hak penduduk yang layak.-JELAIPOST