BERA, 8 Oktober 2026 – Polis menafikan dakwaan tular kononnya seorang anggotanya cedera ditikam Orang Asli ketika menjalankan rondaan dan pemantauan keselamatan di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Ramsar, Tasik Bera.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintenden Zulkiflee Nazir menegaskan, dakwaan yang tersebar menerusi TikTok pada Selasa itu tidak benar serta tidak bertanggungjawab.
Menurutnya, penyebaran kandungan sedemikian boleh menimbulkan kegusaran awam dan mencetuskan insiden keselamatan yang lebih besar sehingga menjadi tidak terkawal.
Beliau berkata, beberapa laporan polis sudah diterima berhubung dakwaan berkenaan, termasuk dari luar daerah Bera.
Kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Penafian itu dibuat susulan penularan rakaman video yang mendakwa berlaku serangan terhadap anggota polis menggunakan senjata tajam di kawasan berkenaan.
Zulkiflee turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan kandungan yang tidak benar atau belum disahkan, khususnya yang boleh mencetuskan salah faham, kebencian dan persepsi negatif terhadap mana-mana individu atau komuniti.-JELAIPOST