Berita

Curi Kabel ECRL: Geng Ravi, Kepala, Dany Dan Mista Tumpas

Kongsi
Kolaj individu dan barang kes dalam siasatan polis berhubung kecurian kabel ECRL dan TM di Temerloh.

TEMERLOH: Polis menumpaskan empat kumpulan disyaki terbabit dalam kegiatan samun serta mencuri kabel dan besi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) serta kabel Telekom Malaysia (TM) menerusi siri operasi antara 12 hingga 19 Oktober.

Ketua Polis Daerah Temerloh, ACP Mohd Nasyim Bahron berkata, operasi itu menyusuli dua kes samun stor simpanan kabel ECRL dan lima kes kecurian kabel TM yang dilaporkan sepanjang September hingga Oktober tahun ini.

Menurutnya, kejadian di sekitar Temerloh, Mentakab dan Lanchang itu membabitkan anggaran kerugian keseluruhan RM75,000.

“Berdasarkan maklumat risikan, pada 12 Oktober 2026 hingga 19 Oktober 2026, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Temerloh dan Task Force Cegah Jenayah Balai Polis Mentakab telah berjaya menumpaskan dua kumpulan jenayah yang melakukan jenayah samun melarikan kabel dan besi projek ECRL serta dua kumpulan jenayah yang melakukan jenayah curi kabel TM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kumpulan pertama dikenali sebagai ‘Geng Ravi’ ditumpaskan menerusi penahanan lima lelaki berusia 20 hingga 60 tahun di sekitar Mentakab antara 12 hingga 15 Oktober.

Polis turut merampas sebuah lori satu tan jenis Mitsubishi dan sejumlah potongan besi tiang. Tiga suspek mempunyai rekod jenayah serta dadah, manakala dua didapati positif methamphetamine.

Kolaj lori dan muatan besi dalam siasatan kes di Temerloh.

Siasatan turut mengaitkan kumpulan itu dengan beberapa kes kecurian besi dan kabel di tapak projek serta kilang yang lama ditinggalkan sejak Julai lalu. Dua lagi suspek masih bebas.

Dalam operasi berasingan pada 14 Oktober, tujuh lelaki berusia 30 hingga 45 tahun yang disyaki menganggotai ‘Geng Kepala’ ditahan di sekitar Kuala Krau dan Mentakab.

Rampasan membabitkan sebuah Toyota Hilux, Isuzu D-Max, beberapa gelung kabel bertanda ‘ECRL Property’, lima batang potongan kabel TNB dan peralatan memproses kabel.

Enam suspek mempunyai rekod jenayah serta dadah, manakala lima didapati positif methamphetamine.

Sementara itu, seorang lelaki berusia 28 tahun yang dikaitkan dengan ‘Geng Dany’ ditahan di Mentakab pada 18 Oktober bersama sebuah Perodua Myvi, beberapa gelung kabel dipercayai milik TM serta peralatan menarik dan memotong kabel.

Suspek mempunyai 15 rekod jenayah serta dadah dan didapati positif methamphetamine. Seorang lagi rakannya masih bebas.

Mohd Nasyim berkata, operasi pada awal pagi 19 Oktober pula membawa kepada penahanan empat lelaki berusia 22 hingga 31 tahun yang disyaki menganggotai ‘Geng Mista’ di Bukit Desa Semantan.

Polis merampas sebuah Mitsubishi Triton, beberapa gelung kabel, 27 batang keratan kabel dipercayai milik TM serta peralatan berkaitan.

Keempat-empat suspek mempunyai rekod jenayah serta dadah dan didapati positif methamphetamine. Kumpulan itu turut disyaki terbabit dalam kecurian kabel di Temerloh, Mentakab, Jerantut dan Maran sejak Julai lalu, manakala seorang lagi suspek masih bebas.

Kolaj kabel dan kenderaan dalam siasatan kes kecurian kabel di Lanchang.

Menurut kenyataan itu, semua suspek ditahan reman bagi membantu siasatan kes samun, kecurian dan kerosakan kemudahan rangkaian.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kehilangan atau kecurian kabel di daerah ini diminta menghubungi IPD Temerloh atau tampil ke balai polis berhampiran.-JELAIPOST

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.