Politik

BN PAHANG TERBUKA KERJASAMA DENGAN MANA-MANA PARTI HADAPI PRU16 – WAN ROSDY

Kongsi

KUANTAN: Barisan Nasional (BN) Pahang terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti politik termasuk PAS dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), kata Pengerusinya, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

Bagaimanapun, beliau berkata buat masa ini BN Pahang kekal dengan pendirian untuk meneruskan Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH) sehingga tamat penggal.

“Kita akan bincang. Saya harap kita (Kerajaan Perpaduan) akan dapat kekal sehingga PRU16,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Inisiatif Makmur Pahang Kluster Sumbangan Melanjutkan Pengajian ke Luar Negara 2026 di Wisma Sri Pahang.

Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang berkata, keutamaan pentadbiran negeri ketika ini adalah untuk terus menjalankan amanah dan memastikan kesejahteraan rakyat serta pembangunan Pahang tidak terjejas oleh percaturan politik.

Pada PRU15 lalu, keputusan pilihan raya menyaksikan tiada mana-mana parti memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri sebelum BN dan PH mencapai persefahaman bagi memastikan sebuah kerajaan yang stabil dapat dibentuk.

Dalam perkembangan sama, Wan Rosdy menegaskan keterbukaan BN Pahang untuk bekerjasama dengan mana-mana parti pada PRU16 menunjukkan bahawa sebarang bentuk kerjasama politik akan dinilai berdasarkan keadaan dan kepentingan rakyat, katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *