Berita

Anak Pahang Harumkan Nama Negeri, Nurul Huda Raih Anugerah Tertinggi Imam Akbar Sheikhul Azhar

Kongsi
Anak Pahang Harumkan Nama Negeri, Nurul Huda Raih Anugerah Tertinggi Imam Akbar Sheikhul Azhar

MESIR: Anak kelahiran Temerloh, Nurul Huda Roslan mengharumkan nama Pahang di persada antarabangsa apabila meraih Anugerah Tertinggi Imam Akbar Sheikhul Azhar pada Konvokesyen Kali Ke-20 Graduan Malaysia Universiti Al-Azhar 2026.

Kejayaan membanggakan itu sekali gus mengangkat nama Pahang dalam bidang pendidikan Islam di peringkat antarabangsa, selain membuktikan kemampuan anak negeri mencapai kecemerlangan di sebuah institusi pengajian Islam terkemuka dunia.

Nurul Huda yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Al-Khairiah, Temerloh, memiliki Ijazah Sarjana dalam bidang Ulum Islam dan kini sedang melanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) di universiti berkenaan.

Pencapaian beliau turut menjadi kebanggaan rakyat Pahang, khususnya masyarakat Temerloh, apabila anak kelahiran daerah berkenaan berjaya menempa nama di pentas akademik antarabangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, kejayaan itu wajar menjadi inspirasi kepada generasi muda Pahang untuk terus memperkukuh penguasaan ilmu, khususnya dalam bidang pengajian Islam.

Menurut beliau, hampir 300 graduan Malaysia diraikan pada konvokesyen berkenaan, dengan 30 daripada mereka menerima pengiktirafan kecemerlangan dalam pelbagai bidang pengajian termasuk agama Islam dan bahasa.

”Kejayaan itu wajar menjadi inspirasi kepada generasi muda Pahang untuk terus memperkukuh penguasaan ilmu, khususnya dalam bidang pengajian Islam,

“Seramai hampir 300 pelajar Malaysia diraikan dalam majlis tersebut, manakala 30 pelajar menerima pengiktirafan sebagai antara yang terbaik di Al-Azhar dalam pelbagai bidang pengajian,” katanya ketika mewakili YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail pada majlis berkenaan yang disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Prof. Dr. Osama As Sayyid Al Azhary.

Syed Ibrahim turut berharap kecemerlangan anak Pahang di luar negara dapat diterjemahkan melalui sumbangan ilmu dan kepakaran kepada masyarakat, khususnya dalam memperkukuh pendidikan serta syiar Islam di tanah air.

Beliau berkata, graduan Al-Azhar diharapkan mampu memainkan peranan sebagai kelompok ilmuwan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah berupaya membimbing masyarakat dan menyumbang kepada pembangunan ummah.

“Semoga anak Pahang Darul Makmur khususnya dan Malaysia amnya terus berjaya serta mampu menjadi khadam agama di tanah air,” katanya.

Selain Nurul Huda, beberapa graduan Malaysia turut mencatat kecemerlangan akademik termasuk Rabiatul Adawiyah Cik Suhaimi yang menerima pengiktirafan Mumtaz Ma’a Martabat Syaraf dalam bidang Pergigian.

Turut menerima pengiktirafan ialah Ahmad Al Amin Amran bagi kategori Mumtaz Al-Quran dan Qiraat serta Nurma Haji Muhammad Qaree bagi kategori Mumtaz Ma’a Martabat Syaraf Syariah Islamiah.

Hadir sama, YH Dato’ Samsul Najmi Samsudin yang juga Menteri Penasihat Pendidikan di Kedutaan Besar Malaysia di Mesir; Rektor Universiti Al-Azhar, Prof. Dr. Mahmid Shadeq Hassan serta Penasihat Sheikhul Azhar bagi Pelajar Asing merangkap Dekan Fakulti Pengajian Ulum Islamiah Al-Azhar, Prof. Dr. Nahla Sabri Soiedy.

Kejayaan Nurul Huda bukan sekadar pencapaian peribadi, sebaliknya menjadi simbol keupayaan anak Pahang untuk bersaing dan menempa kecemerlangan di peringkat dunia.

Daripada bangku sekolah agama di Temerloh sehingga meraih pengiktirafan tertinggi di Universiti Al-Azhar, perjalanan akademik beliau menjadi inspirasi kepada generasi muda negeri ini bahawa kecemerlangan ilmu mampu membawa nama Pahang jauh melangkaui sempadan negara.-JELAIPOST

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.