TEMERLOH, 8 Oktober 2026 – Seramai 147 peserta masyarakat Orang Asli di Kampung Paya Sendayan, Temerloh menerima dividen RM1,200 seorang hasil projek tanaman kelapa sawit seluas 600 ekar yang kini memasuki tahun ketiga pengeluaran hasil.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, jumlah dividen itu meningkat berbanding RM700 hingga RM1,000 yang diterima peserta sebelum ini.
Menurut beliau, peningkatan berkenaan dipercayai dipengaruhi pengurusan ladang yang baik serta kenaikan harga pasaran kelapa sawit, sekali gus memberi pulangan lebih tinggi kepada peserta projek.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Dividen Projek Tanaman Semula Komersial Orang Asli (TSKOA) Paya Sendayan di Dewan Terbuka Kampung Paya Sendayan, hari ini.
Pada majlis sama, sebanyak 384 keluarga turut menerima sumbangan bakul makanan mengandungi barangan keperluan asas, manakala bantuan komputer disampaikan kepada pelajar Orang Asli yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Syed Ibrahim berkata, bantuan berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif Aspirasi Pahang 1st yang diumumkan Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail, khususnya dalam memperkukuh kebajikan, pendidikan dan ekonomi masyarakat luar bandar.
Katanya, Kerajaan Negeri akan meneruskan kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), pihak pentadbiran daerah dan kepimpinan masyarakat setempat bagi memastikan bantuan serta program pembangunan dapat disalurkan kepada golongan sasar.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan supaya tiada pihak mengambil kesempatan terhadap masyarakat Orang Asli, terutama dalam urusan berkaitan tanah bagi mendapatkan keuntungan peribadi.
Beliau menegaskan bahawa pembangunan tanah dan pelaksanaan projek ekonomi melibatkan masyarakat Orang Asli perlu mematuhi peraturan serta undang-undang yang ditetapkan.
Kerajaan Negeri juga akan terus memberikan perhatian terhadap pembangunan masyarakat Orang Asli di seluruh Pahang termasuk di Temerloh, Bera, Chini, Pekan, Rompin dan Lipis.
Turut hadir Ketua Eksekutif Orang Asli Corporation (ORACO), Dato’ Muhammad Olian Abdullah dan Ahli Dewan Negara, Senator Shahrol Wizan Sulong.-JELAIPOST