Berita

Halang Operasi UPNP di Tasik Bera, Lelaki 54 Tahun Ditahan

Kongsi
Gabungan gambar pegawai polis memberi kenyataan dan anggota penguat kuasa dalam operasi di Tasik Bera.

BERA, 8 Oktober – Tindakan penguatkuasaan terhadap penerokaan haram di Hutan Simpan Kekal (HSK) Tasik Bera terus berdepan cabaran apabila seorang lelaki ditahan polis susulan kejadian provokasi, ugutan dan halangan terhadap anggota penguat kuasa di Kampung Lubuk Tambangan, Selasa lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.20 petang itu, seorang orang awam turut mengalami kecederaan selepas dipercayai ditumbuk individu yang belum dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Bera, Superintenden Zulkiflee Nazir berkata, lelaki berusia 54 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian ketika operasi penguatkuasaan diketuai Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) sedang dijalankan.

Menurutnya, anggota UPNP turut menerima ugutan supaya menghentikan operasi di kawasan berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 323, Seksyen 186 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Zulkiflee berkata, polis tidak menolak kemungkinan lebih ramai individu akan ditahan bagi membantu melengkapkan siasatan.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya memberikan kerjasama dan tidak menghalang mana-mana agensi kerajaan yang menjalankan tugas penguatkuasaan.

Operasi Berdepan Halangan Sejak September

Kejadian terbaharu itu menyusul operasi penguatkuasaan bersepadu yang dilaksanakan kerajaan Pahang sejak 14 September lalu bagi menangani penerokaan haram di kawasan HSK Tasik Bera.

Pada 15 September, lima individu turut ditahan selepas dipercayai menghalang tugas anggota penguat kuasa dan mencetuskan provokasi ketika operasi dijalankan.

Operasi berkenaan melibatkan UPNP, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Pejabat Daerah dan Tanah Bera serta pasukan keselamatan.

Sebelum ini, Ketua UPNP, Saifullah Muhammad Ali mendedahkan kira-kira 7,163 hektar kawasan HSK Tasik Bera disyaki diteroka secara haram bagi tanaman kelapa sawit, getah, kelapa dan tanaman kontan.

Keluasan tersebut dikenal pasti menerusi pemetaan UPNP serta semakan imej satelit Agensi Angkasa Malaysia (MYSA).

Penerokaan berkenaan juga dianggarkan menyebabkan ketirisan hasil negeri mencecah RM387.8 juta berdasarkan pengiraan awal Jabatan Perhutanan Negeri Pahang. Bagaimanapun, jumlah sebenar masih tertakluk kepada bancian terperinci di lapangan.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail pada 6 Oktober lalu menegaskan kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap kegiatan pencerobohan tanah secara haram tanpa mengira pihak yang terlibat.

Beliau turut menjelaskan tindakan penguatkuasaan penting bagi melindungi Tasik Bera yang mempunyai pengiktirafan antarabangsa sebagai Tapak Ramsar, selain mengelakkan teguran pihak antarabangsa sekiranya kegiatan penerokaan dibiarkan berterusan.

HSK Tasik Bera diwartakan pada 30 Ogos 2007 dan merupakan sebahagian daripada kawasan tanah lembap yang mempunyai kepentingan pemuliharaan ekosistem serta biodiversiti.

Kes penahanan terbaharu itu kini dalam siasatan polis, manakala operasi membanteras penerokaan haram di kawasan berkenaan menjadi sebahagian daripada usaha kerajaan negeri mempertahankan kawasan hutan simpan yang dilindungi.-JELAIPOST

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.