Foto: Facebook Fadzli Kamal
RAUB, 7 Oktober – Bunga Rafflesia atau bunga pakma yang sedang kembang di Hutan Simpan Lata Jarum, Ulu Dong menjadi tumpuan lebih 120 peserta program pendakian santai petang tadi.
Keunikan bunga yang jarang ditemui itu memberi peluang kepada peserta menyaksikan sendiri antara khazanah alam yang terdapat di hutan Pahang.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Dato’ Fadzli Mohamad Kamal berkata, beliau turut berpeluang melihat bunga berkenaan bersama peserta program tersebut.
“Memang satu pengalaman yang sangat istimewa dan cukup berharga buat kami semua,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Menurut beliau, lebih 120 peserta menyertai pendakian santai itu sambil menikmati keindahan alam semula jadi dan melihat sendiri keunikan Rafflesia.
Beliau berkata, antara lokasi bunga berkenaan boleh ditemui di Pahang ialah Lata Jarum di Ulu Dong, Ulu Cheka di Jerantut dan Pulau Tioman.
Program “Moh Jungle Trekking Sambil Menengok Bunga Rafflesia” itu berlangsung di Pusat Rekreasi Lata Jarum, Ulu Dong, bermula pukul 4 petang.
Fadzli turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Hutan Daerah Raub atas bantuan dan kerjasama bagi memastikan program berjalan lancar.
Beliau berharap khazanah alam tersebut terus dipelihara untuk dinikmati generasi akan datang.-JELAIPOST