KUALA LUMPUR: Pahang menyasarkan lonjakan ekonomi menerusi pembangunan Pahang Aerospace City (PAC), sebuah hab bersepadu seluas 4,856.23 hektar yang dijangka menjana nilai pembangunan antara RM30 bilion hingga RM40 bilion dalam tempoh 15 tahun.
Pembangunan itu dijangka mewujudkan kira-kira 12,000 peluang pekerjaan dan menampung sekitar 50,000 penduduk apabila mencapai tahap matang, selain membuka ruang kepada anak Pahang berkemahiran tinggi membina kerjaya di negeri sendiri.
Menurut laporan New Straits Times (NST) pada 6 Oktober, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, Datuk Mohamad Nizar Datuk Seri Mohamad Najib berkata, PAC akan memperluas asas ekonomi negeri kepada industri aeroangkasa, angkasa lepas, kecerdasan buatan (AI) dan mobiliti termaju.
“Sudah tiba masanya untuk kita berkembang ke arah industri dan teknologi baharu seperti ini. Kita mahu anak Pahang yang berpendidikan tinggi kekal di Pahang dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri,” katanya kepada Business Times.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi mengurangkan kebergantungan kepada industri tradisional seperti kelapa sawit, pembuatan berteknologi rendah, perhutanan, mineral dan sumber semula jadi.
PAC akan bertunjangkan sebuah lapangan terbang antarabangsa baharu, dengan pembangunan di sekelilingnya merangkumi pelbagai kluster perindustrian dan kegiatan ekonomi.
Antara komponen yang dirancang ialah industri aeroangkasa dan aeronautik, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat (MRO), pusat data berteraskan AI, dron, pesawat tanpa pemandu (UAV), pesawat elektrik berlepas dan mendarat secara menegak (eVTOL), serta Space City.
Menurut Nizar, lapangan terbang baharu itu dijangka membabitkan kos pembangunan kasar antara RM1.2 bilion hingga RM1.6 bilion dan direka untuk menampung dua juta penumpang setahun.
Lapangan terbang berkenaan akan berada dalam Kategori 4C Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), dengan landasan sepanjang 4.1 kilometer dan selebar 67 meter.
“Kita mereka bentuk lapangan terbang ini untuk menampung semua jenis pesawat berbadan sempit, khususnya yang lazim digunakan di ASEAN. Pada masa sama, ia juga mampu menampung operasi pesawat berbadan lebar,” katanya.
Beliau berkata, lapangan terbang itu turut menyokong operasi kargo, termasuk hubungan dengan Pelabuhan Kuantan, selain menawarkan kapasiti lebih besar berbanding lapangan terbang sedia ada.
Katanya, pembangunan lapangan terbang baharu diperlukan kerana operasi di Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah ketika ini terhad akibat perkongsian ruang udara dengan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Perpindahan ke tapak baharu akan menyediakan ruang lebih luas bagi operasi penerbangan antarabangsa.
Lapangan terbang itu disasarkan mula beroperasi pada suku keempat 2031, manakala beberapa komponen PAC dijangka beroperasi lebih awal, seawal 2027.
Nizar berkata, pembangunan akan dilaksanakan secara selari merentasi tiga fasa utama, dengan sekitar 60 hingga 70 peratus pembangunan dijangka siap menjelang sekitar 2035.
Bagaimanapun, keseluruhan pembangunan mungkin mengambil masa antara 10 hingga 20 tahun untuk mencapai tahap matang sepenuhnya, mengambil kira skalanya.
Antara komponen terawal yang dijangka dilaksanakan ialah Cherating Gateway, sebuah pembangunan berorientasikan transit (TOD) yang dihubungkan secara terus dengan stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Kegiatan bagi komponen berkenaan dijangka bermula pada Februari 2027, dengan matlamat merangsang kegiatan ekonomi, sosial dan komersial di sekitar jaringan rel tersebut.
Cherating Gateway akan merangkumi kompleks sukan permotoran, komponen komersial dan pusat beli-belah, pusat konvensyen, pembangunan kediaman serta presint pusat data.
Bagi pembangunan pusat data, kira-kira 161.87 hektar diperuntukkan kepada pengendali, dengan beberapa pengendali dari Eropah dan Hong Kong sedang menjalankan kajian kebolehlaksanaan.
Nizar berkata, antara kelebihan utama tapak PAC ialah kedudukannya yang hanya 4.6 kilometer dari kabel dasar laut Asia Pacific Cable Network (APCN), sekali gus menawarkan kelebihan kesalinghubungan kepada pengendali pusat data.
APCN merupakan sistem kabel telekomunikasi gentian optik dasar laut antarabangsa yang menghubungkan pasaran utama Asia, termasuk Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand, Filipina, Hong Kong, Taiwan, Korea Selatan dan Jepun.
Menurut beliau, PAC dirancang merangkumi tujuh presint berasaskan industri, dengan empat sudah diluluskan, iaitu lapangan terbang, MRO, Space City dan Taman Mobiliti Termaju.
Perbincangan bagi tiga presint lain masih terbuka. Laporan itu turut menyebut komponen TOD, pusat data, pembangunan komersial dan cadangan zon perdagangan bebas, dengan perbincangan bersama pihak berkuasa berkaitan masih berlangsung mengenai dasar serta keperluan gudang berbon.
Bagi komponen MRO, Nizar berkata, kemudahan itu akan menyediakan kapasiti tambahan kepada pengeluar dan pengendali pesawat untuk menjalankan kegiatan pengujian serta pengesahan.
Katanya, trafik penerbangan yang tinggi di Subang ketika ini menyukarkan pelaksanaan kegiatan pengujian tertentu, sekali gus membuka ruang kepada Pahang menyediakan kemudahan berkenaan melalui PAC.
Taman Mobiliti Termaju pula akan memberi tumpuan kepada dron, UAV dan pesawat eVTOL sebagai sebahagian daripada ekonomi altitud rendah.
Pembangunan Space City turut disasarkan membentuk ekosistem ekonomi angkasa lepas yang lebih luas, termasuk pembuatan satelit dan kemungkinan kegiatan berkaitan pelancaran.
“Kita memperkenalkan industri baharu yang sebelum ini belum wujud pada skala besar di Pahang, seperti MRO dan ekonomi altitud rendah berasaskan dron serta UAV, selain ekonomi orbit dan angkasa lepas,” katanya.