Oleh: Editor
Foto: Facebook Wan Rosdy Wan Ismail
KUANTAN, 19 Ogos — Kerajaan Negeri Pahang berjaya menoktahkan statistik miskin tegar pada 19 Februari lalu apabila kesemua 2,913 Ketua Isi Rumah (KIR) yang direkodkan dalam lock figure pada 15 Januari 2026 dikeluarkan daripada status tersebut.
Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kejayaan itu hasil kerjasama pelbagai pihak menerusi pelaksanaan bantuan, inisiatif dan intervensi bersasar oleh kerajaan negeri, Kerajaan Persekutuan serta agensi berkaitan.
Beliau berkata, Pahang turut mencatat kejayaan memangkas kadar kemiskinan sebanyak 30 peratus apabila 4,263 daripada 14,210 KIR berstatus miskin pada 5 Jun 2026 berjaya keluar daripada kelompok berkenaan.
“Pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam membasmi kemiskinan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui pendekatan yang menyeluruh, bersasar serta berterusan,” katanya dalam satu kenyataan media menerusi Facebooknya hari ini.
Menurut beliau, kategori miskin tegar merujuk isi rumah berpendapatan per kapita di bawah RM372 sebulan di bandar dan RM345 di luar bandar, manakala kategori miskin ialah mereka yang berpendapatan per kapita kurang RM790 di bandar serta RM714 di luar bandar.
Penentuan status itu dibuat berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2024 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia di bawah Kementerian Ekonomi.
Wan Rosdy bagaimanapun menegaskan data dalam sistem eKasih bersifat dinamik dan boleh berubah mengikut keadaan sosioekonomi isi rumah, termasuk perubahan pendapatan, kehilangan pekerjaan serta perubahan bilangan ahli keluarga.
“Pencapaian ini bukan bermakna usaha membasmi kemiskinan telah selesai. Sebaliknya, ia menuntut tindakan, pemantauan dan intervensi berterusan,” katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan, agensi bantuan, pihak berkuasa tempatan, wakil rakyat dan pemimpin masyarakat bagi memastikan keluarga yang masih tersenarai dalam kategori miskin dan miskin tegar terus dibantu mengikut keperluan.
“Matlamat kita bukan sekadar mengeluarkan rakyat daripada status kemiskinan, tetapi memastikan mereka mampu berdikari, mempunyai sumber pendapatan lebih kukuh dan menikmati kehidupan lebih sejahtera,” katanya. –JELAI POST