Foto: Facebook Wan Rosdy Wan Ismail
ROMPIN: Kerajaan Negeri Pahang terus memberikan perhatian dan komitmen berterusan terhadap pembangunan serta kesejahteraan masyarakat Orang Asli di negeri ini.
Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, komitmen itu merangkumi pelbagai aspek penting termasuk pendidikan, perumahan, kesihatan, ekonomi, sosial serta penyediaan kemudahan asas.
Menurut beliau, usaha berterusan itu penting bagi memastikan masyarakat Orang Asli turut menikmati pembangunan negeri selain mempunyai peluang yang lebih luas untuk meningkatkan taraf hidup.
“Kerajaan Negeri Pahang sentiasa memberikan perhatian dan komitmen yang berterusan terhadap pembangunan serta kesejahteraan masyarakat Orang Asli, merangkumi aspek pendidikan, perumahan, kesihatan, ekonomi, sosial dan kemudahan asas.
“Semoga segala usaha dan inisiatif yang dilaksanakan terus memberi manfaat, membuka lebih banyak peluang serta meningkatkan taraf hidup masyarakat Orang Asli di seluruh Pahang,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, sebentar tadi.
Terdahulu, Wan Rosdy mengiringi Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang berkenan berangkat ke Program Kenduri Rakyat Sempena Sambutan Hari Orang Asli 2026 di Kampung Sungai Mok, Kuala Rompin.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Kehadiran kepimpinan tertinggi negeri dan Persekutuan pada program berkenaan turut mencerminkan perhatian yang diberikan terhadap masyarakat Orang Asli, khususnya dalam memastikan agenda pembangunan komuniti berkenaan terus diperkasa dan dilaksanakan secara menyeluruh. -JELAI POST