Berita

Pahang Sasar Lebih Banyak Pelaburan Berimpak Tinggi

Kongsi
Pahang Sasar Lebih Banyak Pelaburan Berimpak Tinggi

KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang mahu menarik lebih banyak pelaburan berimpak tinggi dan berteknologi tinggi bagi memperkukuh sektor pembuatan serta menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, Dato’ Mohamad Nizar Mohamad Najib berkata, kejayaan Kaneka (Malaysia) Sdn Bhd bertapak selama tiga dekad di Gebeng membuktikan kemampuan Pahang mengekalkan pelabur antarabangsa untuk jangka panjang.

Menurut beliau, Kaneka yang beroperasi di Pahang sejak 1996 kini menggaji lebih 600 pekerja dengan kira-kira 95 peratus daripadanya terdiri daripada tenaga kerja tempatan.

Syarikat berkenaan beroperasi di kawasan seluas kira-kira 100 ekar dan terlibat dalam penghasilan bahan serta polimer berprestasi tinggi untuk pelbagai aplikasi industri termasuk aeroangkasa, automotif dan pembinaan.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sambutan Ulang Tahun Ke-30 Kaneka (Malaysia) Sdn Bhd di Gebeng yang turut disempurnakan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Mohamad Nizar berkata, Pahang melalui Invest Pahang akan terus memberi tumpuan kepada usaha menarik pelabur yang mempunyai teknologi serta nilai tambah tinggi.

Katanya, pengalaman Kaneka juga menunjukkan keyakinan pelabur Jepun terhadap persekitaran industri dan pelaburan di Pahang.

Kehadiran pelaburan jangka panjang seperti itu bukan sahaja menyumbang kepada sektor pembuatan, malah menyediakan peluang pekerjaan dan membina rantaian ekonomi kepada industri berkaitan di negeri ini.– JELAIPOST

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.