Setempat

466 Pemimpin JPKK Terima IM Pahang

Kongsi
466 Pemimpin JPKK Terima IM Pahang

TEMERLOH: Seramai 466 Pengerusi dan Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dari empat daerah menerima manfaat menerusi Inisiatif Makmur Pahang (IM Pahang) Kluster Umum.

Empat daerah terlibat ialah Temerloh, Jerantut, Maran dan Bera dengan peruntukan keseluruhan RM162,500, melibatkan RM116,500 kepada Pengerusi JPKK dan RM46,000 kepada Setiausaha JPKK.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, inisiatif itu bertujuan menghargai peranan kepimpinan JPKK yang menjadi penghubung antara rakyat dengan kerajaan.

Menurut beliau, Pengerusi dan Setiausaha JPKK memainkan peranan penting dalam mengenal pasti masalah penduduk serta membawa keperluan masyarakat di peringkat kampung kepada perhatian kerajaan.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Inisiatif Makmur Pahang Kluster Umum di Dewan Tun Razak, Temerloh, sebagai wakil rasmi Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail.

Syed Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri turut menambah baik kadar elaun dan bantuan kepada kepimpinan JPKK.

Elaun Pengerusi JPKK yang sebelum ini RM500 telah dinaikkan kepada RM1,000, manakala bantuan wang saku meningkat daripada RM200 kepada RM500.

Setiausaha JPKK yang sebelum ini tidak menerima bantuan wang saku kini turut menerima kemudahan berkenaan.

Dalam masa sama, setiap kampung turut digalakkan menyediakan profil penduduk yang lengkap dan tersusun bagi memudahkan keperluan masyarakat dikenal pasti sebelum disalurkan kepada agensi kerajaan berkaitan.- JELAIPOST

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.