KUALA LUMPUR, 27 Sept – Barisan Nasional (BN) akan terus bersama Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal Parlimen ke-15, tetapi komitmen itu berakhir sebaik sahaja Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN telah membuat keputusan untuk menyertai Kerajaan Perpaduan selepas PRU15 dan akan menunaikan komitmen tersebut sehingga akhir penggal.
“The moment Parlimen dibubarkan, kita tidak lagi bersama dengan mereka,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Perhimpunan Agung Tahunan Ke-18 Parti Makkal Sakti Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Ahmad Zahid menjelaskan, keputusan BN menyertai Kerajaan Perpaduan dibuat dalam keadaan politik yang kompleks selepas PRU15. Menurutnya, komitmen untuk kekal dalam kerajaan sehingga tamat penggal merupakan janji yang dibuat BN kepada Yang di-Pertuan Agong ketika kerajaan itu dibentuk.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kerjasama dalam kerajaan tidak bermaksud BN menyerahkan identiti atau melepaskan hak untuk mempunyai pendirian politik sendiri. Kenyataan itu turut menjelaskan perbezaan antara tanggungjawab BN sebagai sebahagian daripada kerajaan bagi penggal semasa dengan percaturan parti tersebut apabila mandat baharu rakyat diperlukan.
Pendirian itu selari dengan penjelasan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebelum ini bahawa BN akan mempertahankan kestabilan Kerajaan Perpaduan hingga hujung penggal. Menurut beliau, sebarang rundingan politik bagi menghadapi PRU16 hanya akan bermula selepas Parlimen dibubarkan.
Pada Perhimpunan Agung UMNO awal bulan ini, Ahmad Zahid turut menegaskan bahawa BN tidak akan keluar daripada kerajaan secara sewenang-wenangnya. Beliau sebaliknya mencabar pihak yang mahu BN meninggalkan Kerajaan Perpaduan supaya mendapatkan mandat baharu melalui pilihan raya atau mengemukakan undi tidak percaya di Dewan Rakyat. -JELAIPOST