Berita

Pahang Mahu Hasil Laut Diproses di Negeri Sendiri

Kongsi
Pahang Mahu Hasil Laut Diproses di Negeri Sendiri

VIGO, Sepanyol – Kerajaan Negeri Pahang mahu memperkukuh industri hiliran perikanan supaya hasil laut yang didaratkan di negeri itu dapat diproses, diberi nilai tambah dan dipasarkan sebagai produk yang lebih bernilai.

Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail berkata, usaha itu penting bagi memastikan manfaat ekonomi sektor perikanan tidak terhenti di jeti atau pasar, sebaliknya turut dinikmati nelayan, pengusaha dan industri pemprosesan tempatan.

“Kita tidak mahu selama-lamanya hanya menjadi negeri yang membekalkan ikan mentah. Kita mahu hasil laut Pahang diproses di Pahang, diberikan nilai tambah dan seterusnya dipasarkan dalam bentuk produk yang lebih bernilai,” katanya.

Beliau berkata demikian susulan lawatan kerja delegasi Pahang ke Vigo, Sepanyol, bagi meninjau industri perikanan dan pemprosesan hasil laut di bandar itu.

Delegasi berkenaan melawat Anfaco-Cytma untuk melihat penggunaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta teknologi pemprosesan dalam menghasilkan produk makanan laut bernilai tambah. Mereka turut mengunjungi Grupo Profand bagi meninjau operasi pemprosesan, penyimpanan, pengurusan rantaian bekalan dan kawalan kualiti makanan.

Menurut Wan Rosdy, pengalaman di Vigo menunjukkan potensi industri perikanan tidak terhad kepada aktiviti menangkap ikan. Nilainya boleh dikembangkan melalui pemprosesan, pembungkusan, pemasaran dan penghasilan produk hiliran.

Beliau berkata, Pahang mempunyai asas untuk mengembangkan industri itu. Berdasarkan data Jabatan Perikanan Malaysia yang dikongsikannya, pengeluaran perikanan negeri pada 2025 mencecah 148,968 tan metrik, berbanding 144,651.73 tan metrik pada 2024, sekali gus mencatat pengeluaran tertinggi di Pantai Timur.

Antara produk hiliran yang berpotensi dibangunkan ialah makanan sejuk beku, makanan sedia dimakan, produk surimi dan makanan laut dalam tin.

Lawatan ke Sepanyol itu merupakan sambungan lawatan kerja delegasi Pahang selepas meninjau industri penternakan kerbau tenusu di Itali.-JELAIPOST

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.