Foto : Shahrizar Azdhar/PahangMedia
PEKAN, 25 September – UMNO Bahagian Pekan mengumpul RM36,204.15 dalam tempoh enam hari bagi membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melunaskan denda RM50 juta yang menjadi syarat pengampunan bersyarat beliau.
Ketua UMNO Bahagian Pekan, YB Dato’ Sri Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, kutipan itu digerakkan di semua peringkat kepimpinan bahagian sejak 19 September sebagai tanda sokongan kepada Najib, yang pernah menjadi Ahli Parlimen Pekan.
Dalam kenyataan media hari ini, beliau turut merafak sembah menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong atas keputusan Lembaga Pengampunan pada 18 September lalu. Katanya, UMNO Pekan menerima keputusan itu dengan penuh hormat, namun “perjuangan bagi mendapatkan keadilan” buat Najib masih belum selesai.
Mohammad Fakhruddin menyerahkan sumbangan Tabung Solidariti Najib kepada Anak sulung Dato’ Sri Mohd Najib, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib pada satu majlis di Pekan hari ini.
Dalam pada itu, UMNO Pekan juga menyambut baik inisiatif Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail, untuk menggerakkan sumbangan bagi membantu pembayaran denda tersebut.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman kes SRC International secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028. Pelaksanaannya tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta dan pematuhan syarat yang ditetapkan. Jika syarat dilanggar, pengampunan bersyarat itu terbatal dan beliau perlu meneruskan baki hukuman di penjara.
Najib mula menjalani hukuman penjara pada 23 Ogos 2022. Pada 2024, Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 kepada enam tahun, manakala denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta. -JELAIPOST