Foto: Facebook Wan Rosdy Wan Ismail
SALERNO: Kerajaan Negeri Pahang sedang meneroka kerjasama termasuk urusan perolehan 100 ekor kerbau tenusu dari Itali bagi menyokong pembangunan Lembah Tenusu Pahang Barat.
Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkara itu antara yang dibincangkan ketika delegasi Pahang mengadakan lawatan kerja ke Azienda Agricola Tempio Di Barlotti Gianluigi di Capaccio Paestum, wilayah Salerno.
Menurut beliau, kunjungan berkenaan memberi peluang kepada delegasi melihat sendiri kaedah penternakan kerbau tenusu, penggunaan teknologi pemprosesan susu serta pengurusan keseluruhan rantaian industri tenusu di ladang berkenaan.
Azienda Agricola Tempio mengendalikan rantaian pengeluaran susu kerbau secara bersepadu, daripada penternakan hinggalah kepada penghasilan produk tenusu. Menurut laman rasminya, ladang itu mempunyai kira-kira 1,100 ekor kerbau dan menghasilkan lebih 20 kuintal susu sehari.
Wan Rosdy berkata, perbincangan dengan pihak syarikat turut menyentuh bentuk kerjasama yang boleh dilaksanakan, termasuk urusan mendapatkan 100 ekor kerbau tenusu untuk menyokong program pemerkasaan Lembah Tenusu Pahang Barat.
Katanya, usaha berkenaan merupakan sebahagian daripada langkah Kerajaan Negeri untuk memperkukuh industri tenusu Pahang secara lebih tersusun dan moden, selain membuka ruang kepada peningkatan pengeluaran produk tenusu tempatan.
“Kita mahu melihat sektor penternakan Pahang terus berkembang sebagai salah satu pemacu ekonomi negeri,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Usaha itu juga selari dengan Aspirasi Pahang 1st yang memberi tumpuan kepada pembangunan sektor ekonomi negeri serta peluasan manfaat kepada rakyat.
Lawatan kerja itu turut disertai Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Ir. Haji Mohd Soffi bin Tan Sri Abd Razak bersama delegasi Kerajaan Negeri Pahang.-JELAIPOST