ROMPIN, 20 September 2026 – Siasatan menyeluruh perlu dilakukan bagi membongkar pihak sebenar di sebalik penerokaan haram di Hutan Simpan Kekal Tasik Bera, termasuk kemungkinan wujud pihak luar yang menggunakan nama masyarakat Orang Asli untuk mengaut keuntungan.
Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, YB Dato’ Sri Dr. Ramli Mohd Nor berkata, semua dakwaan perlu diserahkan kepada pihak berkuasa untuk disiasat berdasarkan bukti. Masyarakat tidak seharusnya membuat kesimpulan awal sehingga menimbulkan keresahan dan menjejaskan imej Orang Asli.
“Biarlah pihak berkuasa menyiasat. Jangan kita membuat kesimpulan atau mengeluarkan pendapat yang akhirnya menggelisahkan masyarakat negara dan Orang Asli itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutupan Kursus ‘1 Kampung, 1 Pemimpin’ Masyarakat Orang Asli Daerah Rompin Tahun 2026 anjuran Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Daerah Rompin di Hotel Rompin Beach Resort, Kuala Rompin.
Menurut beliau, skala penerokaan yang dilaporkan bukan kecil. Berdasarkan data yang dilihatnya, kira-kira 18,000 hektar atau 24 peratus daripada keseluruhan kawasan Ramsar Tasik Bera dipercayai telah diterokai.
“Kalau data yang saya tengok, itu bukan sikit-sikit. Berdasarkan kiraan bersama pegawai saya, kawasan yang diterokai lebih kurang 24 peratus daripada keseluruhan kawasan Ramsar itu,” katanya, memetik laporan Pahang Media.
Dr. Ramli berkata, jika penerokaan berskala besar itu benar berlaku, siasatan tidak boleh terhenti kepada individu yang berada di lapangan sahaja. Pihak berkuasa perlu meneliti sumber kewangan, jentera yang digunakan, kaedah pembukaan tanah, pengurusan ladang serta saluran penjualan hasil kelapa sawit.
Persoalannya, siapakah yang menyediakan modal, menguruskan operasi dan membeli hasil tanaman daripada kawasan berkenaan?
“Kalau betul Orang Asli yang melakukannya, dari mana mereka memperoleh wang, bagaimana kawasan itu dibuka dan selama ini bagaimana hasil kelapa sawit dijual? Apabila disiasat, semuanya akan terungkai,” katanya.
Beliau menegaskan, masyarakat Orang Asli tidak boleh terus dijadikan kambing hitam sebelum rantaian sebenar kegiatan tersebut dikenal pasti. Jika terdapat pihak luar, sindiket atau pemodal yang berselindung di sebalik nama mereka, golongan itu perlu dibawa ke muka pengadilan.
Sekiranya siasatan mengesahkan berlakunya penerokaan haram, tindakan tegas mesti diambil, termasuk merampas semula kawasan berkenaan dan menjalankan usaha pemulihan sebagai hutan simpan. Langkah itu penting bagi melindungi kelestarian Tasik Bera yang mempunyai nilai alam sekitar cukup besar.
Dalam masa sama, Dr. Ramli mengingatkan masyarakat Orang Asli supaya memahami peruntukan undang-undang berkaitan tanah dan tidak mudah memberikan kepercayaan kepada pihak luar sehingga nama serta kepentingan mereka dimanipulasi.
“Orang Asli perlu faham dan tahu bahawa kelulusan untuk membuka tanah hanya boleh diberikan oleh kerajaan negeri. Kawasan rayau juga ditentukan oleh kerajaan negeri,” katanya.
Mengulas video yang tular berhubung isu tersebut, beliau meminta orang ramai tidak terburu-buru membuat kesimpulan sebelum ketulenan rakaman berkenaan disahkan.
“Nombor satu, kita perlu sahkan ketulenannya, sama ada rakaman itu benar ataupun telah disunting,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa setiap operasi penguatkuasaan mesti dilaksanakan mengikut prosedur serta mengambil kira sensitiviti masyarakat dan agama. Namun, sensitiviti tidak boleh dijadikan alasan untuk melindungi penerokaan haram atau pihak yang mengambil kesempatan terhadap masyarakat Orang Asli.