KUANTAN, 16 Sept – Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang mengingatkan semua pihak supaya menghormati proses pengampunan Dato’ Sri Najib Tun Razak sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan tidak cuba mendahului keputusan yang belum dibuat.
Dalam kenyataan hari ini, UMNO Pahang menegaskan bahawa isu berkenaan perlu dibincangkan secara tertib dengan memahami perbezaan antara proses mahkamah, pelaksanaan hukuman oleh institusi penjara dan proses pengampunan.
Menurut badan perhubungan itu, mahkamah bertanggungjawab menjalankan perbicaraan, menentukan sabitan serta menjatuhkan hukuman, manakala institusi penjara melaksanakan hukuman yang telah diputuskan.
Proses pengampunan pula merupakan mekanisme berasingan yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
“Permohonan pengampunan bukanlah suatu perbicaraan semula, bukan rayuan tambahan di mahkamah dan bukan tindakan untuk mengambil alih fungsi badan kehakiman,” menurut kenyataan itu.
Justeru, UMNO Pahang menegaskan bahawa usaha memohon pengampunan bagi Najib tidak bermaksud parti itu menolak atau tidak menghormati keputusan mahkamah.
Sebaliknya, menurutnya, menghormati keputusan mahkamah dan menggunakan saluran pengampunan yang tersedia di bawah Perlembagaan merupakan dua proses yang berbeza dan boleh berjalan dalam kerangka undang-undang negara.
Pada masa sama, UMNO Pahang memandang serius kenyataan sesetengah pihak yang secara terbuka mendesak supaya permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri itu tidak diperkenankan.
Menurut badan perhubungan berkenaan, kenyataan yang seolah-olah menetapkan lebih awal keputusan yang perlu dibuat boleh dilihat sebagai tekanan awam terhadap proses pengampunan.
Sehubungan itu, semua pihak diminta menghormati peranan mahkamah, memahami kedudukan proses pengampunan serta tidak mendahului atau cuba mendesak sebarang keputusan berkaitan perkara tersebut.
UMNO Pahang turut menegaskan kepentingan menjaga kemuliaan institusi Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu serta menghormati kedudukan Raja Berperlembagaan sebagai antara tonggak negara.
“UMNO akan sentiasa menjunjung dan menghormati institusi Raja Berperlembagaan sebagai tonggak kedaulatan dan kestabilan negara,” katanya.-JELAIPOST