Viral

Polis Pahang Nafi Wujud Kartel Dadah di Genting Highlands, Tingkatkan Kawalan Berikutan Kes Rompakan Kedai Emas

Kongsi
Datuk Azrky Akmar Ayob

Polis Kontinjen Pahang menafikan keras dakwaan penularan di media sosial yang mendakwa wujud sebuah kartel dadah berskala besar beroperasi tanpa kawalan di pusat peranginan Genting Highlands, Bentong.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob, menegaskan pihak polis sentiasa memantau dan bertindak tegas terhadap sebarang aktiviti jenayah di kawasan berkenaan serta seluruh negeri Pahang sekiranya terdapat laporan rasmi.

“Sekiranya ada laporan polis membabitkan aktiviti haram, kita akan bertindak serta-merta tanpa mengira lokasi. Setakat ini dakwaan mengenai kartel dadah berkenaan adalah tidak benar,” kata beliau dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang.

Penjelasan itu dibuat berikutan hantaran di platform Threads yang mendakwa kawasan peranginan tanah tinggi itu dijadikan sarang operasi kartel dadah dan mendakwa tiada tindakan diambil berhubung perkara itu.

Kawalan Ketat Selepas Kejadian Rompakan Kedai Emas

Penafian isu kartel dadah itu hadir ketika tumpuan keselamatan kini terarah sepenuhnya ke Genting Highlands susulan insiden rompakan berani di sebuah kedai emas yang berlaku di pusat beli-belah kawasan peranginan itu kira-kira jam 12 tengah hari, Isnin.

Rakaman CCTV Rompakan Kedai Emas (Sumber Facebok Mohd Fadli Salleh)

Insiden berkenaan menyaksikan suspek melarikan barang kemas dianggarkan bernilai RM1.7 juta dalam tempoh singkat, sekali gus tular di media sosial menerusi rakaman video yang menunjukkan suspek melarikan diri membawa guni besar.

Ekoran kejadian rompakan tersebut, pihak polis telah meletakkan kawalan keselamatan ketat dan sekatan jalan raya di laluan keluar-masuk tanah tinggi berkenaan bagi memburu suspek yang terlibat.

Datuk Azry Akmar mengesahkan kes rompakan berkenaan dan memaklumkan siasatan terperinci sedang dijalankan mengikut peruntukan undang-undang bagi mengesan semua suspek.

Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih di media sosial mengenai isu kartel dadah dan sebaliknya memberikan ruang serta maklumat tepat kepada polis untuk menyelesaikan kes rompakan yang berlaku.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *