Berita

Kerajaan Pahang Salur RM469,828 Kepada 31 Wakil dan Penerima

Kongsi
Kerajaan Pahang Salur RM469,828 Kepada 31 Wakil dan Penerima

Foto: Facebook Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang menyalurkan sumbangan berjumlah RM469,828 kepada 31 wakil dan penerima bagi meringankan keperluan serta menyokong pelbagai usaha yang memberi manfaat kepada rakyat.

Penyerahan cek sumbangan itu disempurnakan Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Wan Rosdy berkata, setiap sumbangan yang disampaikan bukan sekadar dinilai berdasarkan jumlah kewangan, sebaliknya membawa amanah dan tanggungjawab kerajaan negeri untuk terus mendengar serta membantu rakyat yang memerlukan.

“Bagi saya, setiap sumbangan yang disampaikan bukan sekadar nilai ringgit, tetapi membawa bersama amanah dan tanggungjawab Kerajaan Negeri untuk terus cakna, mendengar dan membantu rakyat yang memerlukan,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya.

Menurutnya, Kerajaan Negeri Pahang akan terus melaksanakan usaha secara berterusan bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat sentiasa diberikan perhatian.

Penyaluran sumbangan berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan bantuan sampai kepada golongan serta pihak yang memerlukan, di samping menyokong program dan inisiatif yang memberi manfaat kepada masyarakat.

“Insya-Allah, usaha untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus diberi perhatian akan kita laksanakan secara berterusan,” katanya.

Beliau turut menegaskan prinsip Pahang 1st: Rakyat Didahulukan, Kemakmuran Dipertahankan akan terus menjadi landasan pentadbiran kerajaan negeri dalam melaksanakan agenda pembangunan dan kebajikan rakyat.-JELAIPOST

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.