Foto: Facebook Kesultanan Pahang
KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan Kerajaan Negeri serta agensi berkaitan supaya mempergiatkan langkah pencegahan banjir lebih awal, khususnya menjelang musim tengkujuh.
Baginda bertitah, kerja pembersihan dan pendalaman parit serta longkang perlu dilaksanakan segera dengan keutamaan diberikan kepada kawasan yang sering dilanda banjir.
“Pihak berkaitan hendaklah memastikan projek tebatan banjir yang sedang dilaksanakan secara berperingkat berjalan lancar dan disiapkan mengikut jadual ditetapkan,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah bertitah demikian pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz, di sini.
Titah berkenaan selaras dengan keperluan semua pihak membuat persediaan rapi lebih awal bagi mengurangkan risiko serta kesan banjir terhadap keselamatan dan kehidupan rakyat.
Dalam perkembangan lain, baginda turut menitahkan Kerajaan Negeri dan agensi terlibat supaya terus memantau serta mengambil tindakan terhadap kegiatan pencerobohan tanah secara haram di seluruh Pahang.
Baginda mahu tindakan berkenaan dilaksanakan dengan lebih berkesan, tegas dan bijaksana berlandaskan peruntukan undang-undang.
“Beta rasa syukur kerana perkembangan kes-kes mahkamah berkaitan pencerobohan tanah haram dilihat memihak kepada Kerajaan Negeri Pahang,” titah baginda.
Ketegasan tersebut mencerminkan pendirian baginda dalam memastikan khazanah dan kepentingan negeri terus dilindungi daripada sebarang kegiatan yang melanggar undang-undang.