Berita

Tuan Ahmad Sazilee Dilantik Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang Baharu

Kongsi
Tuan Ahmad Sazilee Dilantik Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang Baharu

Foto: Facebook Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN: Pelantikan Tuan Ahmad Sazilee bin Abdul Khairi sebagai Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang yang baharu diyakini mampu memperkukuh tadbir urus serta melancarkan pentadbiran negeri.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pelantikan itu merupakan satu amanah dan tanggungjawab besar, khususnya dalam memastikan urusan perundangan serta pentadbiran Kerajaan Negeri terus dilaksanakan dengan penuh integriti.

Menurutnya, setiap tanggungjawab yang dipikul perlu dilaksanakan berlandaskan undang-undang, selain sentiasa menjunjung tinggi prinsip keadilan.

“Semoga dengan pengalaman, kewibawaan dan kepakaran yang dimiliki, beliau dapat melaksanakan amanah ini sebaiknya demi memperkukuh tadbir urus serta kelancaran pentadbiran Negeri Pahang Darul Makmur,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Terdahulu, Ahmad Sazilee menerima Surat Cara Pelantikan sebelum mengangkat sumpah jawatan sebagai Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang yang baharu di Istana Abdulaziz, di sini.

Majlis berkenaan berlangsung di hadapan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah.

Turut berangkat, Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Wan Rosdy turut merafak sembah menjunjung kasih atas perkenan Sultan Abdullah dan Tengku Hassanal menerima beliau mengadap di Istana Abdulaziz.

Ahmad Sazilee mempunyai pengalaman luas dalam bidang perundangan, pendakwaan dan penguatkuasaan jenayah kewangan.

Sebelum dilantik ke jawatan baharu itu, beliau merupakan Timbalan Ketua Pengarah Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Jabatan Perdana Menteri.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Timbalan Pendakwa Raya di Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), selain mempunyai pengalaman dalam bidang perundangan dan pendakwaan di Bank Negara Malaysia.-JELAIPOST

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.