Foto: Khairul Azrin (Dik Lat)
KUANTAN: Jalur Gemilang gergasi mencipta sejarah apabila aksi mengibarkannya dari udara pada Sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 Peringkat Negeri Pahang mendapat pengiktirafan Malaysian Book of Records (MBOR).
Aksi penuh mendebarkan itu turut diserikan dengan kibaran bendera Pahang yang megah menghiasi ruang udara Padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) 4, Kemunting, di sini, hari ini.
Jalur Gemilang berukuran empat meter kali enam meter dengan berat kira-kira lapan kilogram itu dikembangkan pada ketinggian 4,000 kaki selepas penerjunan dilakukan dari ketinggian 6,000 kaki.
Persembahan berkenaan melibatkan 18 anggota Pasukan Khas Udara (PASKAU) yang diterbangkan menggunakan dua helikopter AW139 dari No. 3 Skuadron, Pangkalan Udara Butterworth.
Kibaran dua bendera itu mencuri tumpuan puluhan ribu pengunjung, sekali gus mencipta detik bersejarah dan menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat yang hadir.
Pengiktirafan MBOR tersebut khusus bagi kibaran Jalur Gemilang terbesar dari udara, manakala bendera Pahang turut mengiringi persembahan sebagai lambang kebanggaan dan identiti negeri.-JELAIPOST