KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan RM2.426 juta sebagai insentif bagi menghargai kecemerlangan 2,326 pelajar dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Tahun 2025.
Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, insentif tersebut mencerminkan komitmen kerajaan negeri yang terus meletakkan pendidikan sebagai agenda utama pembangunan Pahang.
Daripada keseluruhan penerima, seramai 2,101 merupakan pelajar cemerlang SPM, 99 pelajar STAM dan 123 pelajar STPM, manakala tiga lagi menerima Anugerah Khas Pelajar STPM.
Selain itu, sebanyak 23 buah sekolah turut menerima Anugerah Khas Sekolah STPM atas pencapaian cemerlang masing-masing.
Setiap pelajar cemerlang dan penerima Anugerah Khas Pelajar STPM menerima insentif RM1,000, manakala setiap sekolah yang menerima Anugerah Khas Sekolah STPM diberikan RM2,000.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Insentif Kecemerlangan SPM, STAM dan STPM Tahun 2025 Negeri Pahang di Dewan Kompleks Sukan, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Gambang, hari ini.
Menurut beliau, majlis berkenaan bukan sekadar meraikan keputusan peperiksaan, sebaliknya menjadi sebahagian daripada usaha membina generasi yang bakal menentukan masa depan negeri.
“Lima, 10 atau 15 tahun akan datang, kita mahu melihat anak-anak ini berdiri sebagai doktor, jurutera, guru, saintis, usahawan, profesional dan pemimpin yang menyumbang kepada negeri dan negara,” katanya.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri menerusi Inisiatif Makmur Pahang (IMP) melaksanakan pelbagai program pendidikan bermula dari peringkat awal persekolahan sehingga pengajian tinggi.
Antaranya termasuk pemberian buku rujukan dan buku latihan Modul dan Model Pahang First Tok Wan, program tuisyen percuma, Tunas Makmur, Juadah Makmur serta Insentif Kecemerlangan.
Usaha berkenaan turut diperkukuh Yayasan Pahang melalui program Modul Jawab Untuk Jaya (JuJ), Program Perancangan Harus Lulus (PERHALUS), Program Intervensi Semua Subjek A (PISSA) dan Program Pendidikan Murid Asli (PEDULI).
Wan Rosdy berkata, dunia yang berubah pantas menuntut generasi muda menguasai ilmu, kemahiran dan teknologi serta mempunyai keberanian untuk memimpin perubahan.
“Kita mahu melahirkan generasi yang bukan sahaja mencari pekerjaan, tetapi mampu mencipta pekerjaan; bukan hanya mencari peluang, tetapi mencipta peluang,” katanya.
Beliau turut mengingatkan para pelajar supaya tidak menganggap kejayaan hari ini sebagai noktah, sebaliknya menjadikannya permulaan untuk melangkah lebih jauh.
Katanya, walau setinggi mana kejayaan dicapai, mereka perlu sentiasa mengenang pengorbanan ibu bapa dan guru serta kembali menyumbang kepada negeri Pahang.
“Masa depan Pahang sedang kita bina hari ini dan anak-anak semua merupakan sebahagian daripada generasi yang akan menentukan wajah Pahang pada masa akan datang,” katanya.-JELAIPOST