Politik

UMNO Buka Ruang Rundingan Hadapi Pilihan Raya, Jemput Pimpinan PAS Ke PAU 2026

Kongsi
UMNO Buka Ruang Rundingan Hadapi Pilihan Raya, Jemput Pimpinan PAS Ke PAU 2026

Foto: UMNO Online

KUALA LUMPUR: UMNO memberi mandat kepada kepimpinan negeri untuk mengadakan perbincangan dan rundingan dengan parti-parti politik yang mahu bekerjasama bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

Ketetapan itu diumumkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menerusi kenyataan media selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Menara Dato’ Onn, malam tadi.

Menurutnya, sebarang rundingan untuk menjalin kerjasama politik mesti berteraskan keikhlasan dan kepercayaan, bukannya melalui ugutan atau gertakan.

Keputusan berkenaan dibuat selepas UMNO mengambil maklum pelbagai dapatan kajian empirikal oleh agensi dan ahli akademik yang menunjukkan rakyat, terutama orang Melayu, mengharapkan penyatuan ummah dapat direalisasikan.

Pada masa sama, kepentingan keindukan Melayu perlu terus menjadi teras kepada kestabilan politik negara.

Dalam perkembangan sama, MKT turut bersetuju memanjangkan jemputan rasmi kepada kepimpinan tertinggi PAS untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026.

Jemputan itu sebagai tanda penghormatan dan membalas jemputan PAS kepada kepimpinan UMNO untuk menghadiri Muktamar Tahunan parti berkenaan.

Sementara itu, UMNO menegaskan prinsip kedaulatan undang-undang mesti sentiasa dihormati dan dijunjung, termasuk anggapan bahawa seseorang tidak bersalah selagi belum didakwa, dibicarakan serta disabitkan oleh mahkamah.

Menurut kenyataan itu, tindakan memalukan atau mengaibkan individu yang baru ditahan bagi tujuan siasatan, termasuk membentuk persepsi seolah-olah individu berkenaan telah bersalah, adalah bertentangan dengan prinsip keadilan dan anggapan tidak bersalah.

Bagaimanapun, parti itu konsisten tidak akan mempertahankan sebarang salah laku, penyelewengan atau penyimpangan oleh mana-mana pihak, termasuk ahli dan kepimpinan UMNO, yang wajib dihadapkan ke muka pengadilan menerusi proses undang-undang.

Sempena PAU 2026 yang berlangsung pada 9 hingga 12 September ini, tiga program utama akan diadakan sehari lebih awal pada 8 September, iaitu Konvensyen Pendidikan Melayu 2026, Multaqa Ilmuwan Islam Malaysia dan Laman Wanita Kreatif.

Ketiga-tiga program itu terbuka kepada orang ramai.

Mesyuarat berkenaan turut menyaksikan pelantikan dan upacara angkat sumpah YAB Datuk Ismail Lasim, Menteri Besar Negeri Sembilan sebagai Ahli MKT UMNO.-JELAIPOST

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.