PUTRAJAYA – Kerajaan akan memperketat kawal selia terhadap platform e-dagang yang didapati tidak mempunyai pemantauan dan pendaftaran yang jelas, susulan peningkatan aduan berkaitan penipuan dalam talian, produk elektrik serta elektronik dan kesahihan status halal.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerima 1,964 aduan antara 1 Januari 2025 hingga 25 Ogos 2026 berkaitan produk yang dijual menerusi platform e-dagang dan isu berkaitannya.
Daripada jumlah itu, sebanyak 1,147 aduan direkodkan pada 2025, manakala 817 lagi diterima bagi tempoh 1 Januari hingga 25 Ogos tahun ini. Sebanyak 118 aduan masih dalam tindakan MCMC.
Menurut Fahmi, isu berkenaan turut dibangkitkan dalam satu sidang kemuncak e-dagang apabila terdapat kebimbangan terhadap penjual yang beroperasi tanpa pemantauan sewajarnya.
Beliau berkata, antara aduan yang diterima melibatkan produk elektrik dan elektronik serta persoalan mengenai kesahihan status halal produk yang dipasarkan.
Susulan itu, Kementerian Komunikasi dan Kementerian Kewangan akan mengambil tindakan berdasarkan arahan Jemaah Menteri bagi meneliti mekanisme kawal selia, termasuk aspek pendaftaran platform e-dagang.
Langkah itu dilihat penting untuk memperkukuh perlindungan pengguna dan memastikan platform yang menawarkan jualan dalam talian mematuhi peraturan tempatan. – JELAIPOST
