Berita

Tengku Puteri Seri Kemala Mangkat

Kongsi
Tengku Puteri Seri Kemala Mangkat

KUANTAN: Paduka Kekanda Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Kemala, Tengku Dato’ Sri Setia Hajjah Aishah Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah mangkat pada jam 9.15 malam tadi.

Almarhumah menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital di Kuala Lumpur.

Perkara itu dimaklumkan menerusi siaran media Kesultanan Pahang yang dikeluarkan oleh Pengelola Bijaya Diraja Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, YH Mej Jen Dato’ Mohamed Zahari Dato’ Haji Yahya TUDM.

Menurut kenyataan tersebut, jenazah Almarhumah akan dibawa ke Makam Diraja Pahang di Pekan hari ini untuk disemadikan dengan penuh penghormatan dan istiadat.

Kemangkatan Almarhumah merupakan kehilangan besar kepada Kerabat Diraja Pahang, khususnya Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang serta seluruh keluarga dan kerabat Diraja Pahang.

Kesultanan Pahang turut mendoakan agar roh Almarhumah dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa dan kesalahan serta diterima segala amal ibadah dan kebajikan yang dilaksanakan sepanjang hayat.

“Semoga roh Almarhumah ditempatkan dalam kalangan para solihin serta di syurga-Nya,” menurut kenyataan itu.-JELAIPOST

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.