Foto: Farizul Hafiz Awang
ROMPIN, 24 Ogos 2026 – Pelaksanaan Program Sentuhan Rakyat Makmur (PSRM) 2026 terus memperlihatkan komitmen Kerajaan Negeri Pahang dalam mendekati rakyat menerusi pendekatan turun padang yang memberi tumpuan kepada kebajikan, keperluan dan isu masyarakat setempat.
Menerusi Program Ziarah Makmur yang diadakan di sekitar Kuala Rompin, penduduk disantuni secara langsung bagi membolehkan keperluan mereka dikenal pasti, selain bantuan disampaikan kepada golongan yang memerlukan.
YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar turut hadir dalam program berkenaan bagi menyantuni penduduk serta meninjau sendiri keadaan kehidupan masyarakat di kawasan terbabit.
PSRM merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Pahang yang menghimpunkan penjawat awam negeri dan Persekutuan untuk turun padang, menyampaikan bantuan serta menyalurkan maklumat mengenai pelbagai inisiatif kerajaan kepada rakyat.
Program itu turut menjadi ruang libat urus antara masyarakat dengan jabatan serta agensi kerajaan bagi membolehkan isu, cadangan dan keperluan setempat dikenal pasti serta diberi perhatian.
Bagi tahun 2026, Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan RM2 juta untuk meneruskan pelaksanaan PSRM, sekali gus memperkukuh usaha menyantuni rakyat serta memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan dapat dilaksanakan secara lebih dekat dan berkesan.
Pelaksanaan program secara berterusan itu mencerminkan keprihatinan Kerajaan Negeri Pahang dalam memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat manfaat daripada inisiatif pembangunan dan kebajikan yang disediakan.-JELAIPOST