Foto: Facebook Zahid Hamidi
KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyuarakan keyakinan bahawa sokongan rakyat menerusi peti undi mampu mencetuskan gelombang baharu yang membawa peluang serta kemakmuran bersama.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, kepercayaan yang diberikan rakyat perlu dimanfaatkan untuk membina kerjasama lebih kukuh dalam menentukan hala tuju kepemimpinan negara.
Menurut Presiden UMNO itu, pengundi memainkan peranan penting dalam merealisasikan aspirasi berkenaan, yang disifatkannya sebagai kebangkitan “gelombang biru” di Malaysia.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan World Islamic Tourism and Trade Expo (WITEX) 2026 Minister and CEO’s Summit di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), pada Sabtu.
Ungkapan “gelombang biru” dilihat sebagai isyarat kepada hasrat Barisan Nasional (BN) dan UMNO untuk memperkukuh semula sokongan rakyat menjelang pilihan raya akan datang.
Dalam ucapannya, Ahmad Zahid turut menegaskan keperluan untuk memastikan peluang pembangunan dan kemakmuran negara dapat dinikmati secara bersama.