KUALA LUMPUR: Ibu kepada Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB Dato’ Mohd Nizar Najib, Tengku Puteri Zainah Tengku Eskandar kini berada dalam keadaan kritikal dan sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Mohd Nizar yang juga Adun Peramu Jaya berkongsi perkembangan kesihatan ibunya itu sambil memohon doa daripada seluruh rakyat Malaysia agar Tengku Puteri Zainah diberikan kekuatan dan kesembuhan.
“Keadaan bonda masih kritikal. Semoga Allah SWT mengangkat segala kesakitan, memberikan kekuatan dan mengurniakan kesembuhan buat bonda,” katanya.
Anak kepada bekas Perdana Menteri, Dato Seri Najib Razak itu turut menzahirkan harapan agar segala urusan rawatan ibunya dipermudahkan dan penderitaan yang ditanggung dapat diringankan.
Beliau turut merayu kepada sahabat handai, saudara-mara dan kenalan supaya bersama-sama menitipkan doa buat ibunya yang kini sedang berjuang melawan keadaan kesihatan yang kritikal.
“Kami sekeluarga amat mengharapkan doa daripada semua. Semoga setiap doa yang dititipkan menjadi asbab rahmat dan pertolongan Allah SWT,” katanya.
Mohd Nizar turut berdoa agar Allah SWT melimpahkan rahmat dan kasih sayang-Nya serta mengurniakan yang terbaik buat ibunya dalam menghadapi ujian kesihatan tersebut.-JELAIPOST

Satu ulasan