Berita

11,802 Warga Emas India Terima Baucar Deepavali Kerajaan Pahang

Kongsi
11,802 Warga Emas India Terima Baucar Deepavali Kerajaan Pahang

KUANTAN: Seramai 11,802 warga emas masyarakat India di Pahang bakal menerima baucar perayaan Deepavali 2026 menerusi inisiatif Kerajaan Negeri bagi membantu golongan berkenaan meraikan perayaan itu dengan lebih ceria.

Bantuan tersebut khusus kepada masyarakat India berusia 60 tahun ke atas dan dijangka mula diedarkan dalam masa terdekat.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pemberian berkenaan merupakan kesinambungan inisiatif kebajikan Kerajaan Negeri yang turut dilaksanakan sempena sambutan Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina.

Menurut beliau, pendekatan itu mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan kebajikan rakyat daripada pelbagai kaum terus diberikan perhatian tanpa mengira latar belakang agama dan budaya.

“Baucer tersebut merupakan kesinambungan inisiatif kebajikan Kerajaan Negeri yang turut dilaksanakan sempena sambutan Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina.

“Kita mungkin berbeza kaum, agama dan budaya, tetapi kita berkongsi satu negeri dan satu keluarga besar,” katanya.

Beliau berkata, pemberian baucar perayaan bukan sekadar bertujuan meringankan perbelanjaan penerima, malah menjadi simbol keprihatinan Kerajaan Negeri dalam menyemarakkan semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Pahang.

Katanya, kepelbagaian kaum dan budaya merupakan kekuatan negeri yang perlu terus dipelihara menerusi pendekatan pentadbiran yang inklusif serta mengutamakan kesejahteraan seluruh rakyat.

“Kerajaan Negeri akan terus memastikan tiada golongan yang terpinggir, selaras dengan Aspirasi Pahang 1st,” katanya.

Inisiatif berkenaan turut memperlihatkan usaha berterusan Kerajaan Negeri Pahang dalam memastikan kemakmuran negeri dapat dikongsi secara menyeluruh, khususnya dalam kalangan warga emas yang sentiasa diberikan perhatian melalui pelbagai program kebajikan.-JELAIPOST

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.