Berita

Masjid Al-Sultan Abdullah Pemangkin Masa Depan Telok Melano

Kongsi
Masjid Al-Sultan Abdullah Pemangkin Masa Depan Telok Melano

Foto: Facebook Kesultanan Pahang

TELOK MELANO: Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan harapan agar Masjid Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menjadi pemangkin kepada pembangunan dan kemajuan Telok Melano.

Paduka Baginda bertitah, pembinaan masjid berkenaan bukan sahaja menyediakan tempat ibadah yang selesa, malah mampu membuka lembaran baharu kepada pelaksanaan pelbagai projek pembangunan dan kemudahan yang dirancang Kerajaan Sarawak di kawasan sekitarnya.

“Harapan saya, masjid ini akan menjadi satu katalis kepada projek pembangunan di sini. Dengan adanya cadangan pembangunan serta kemudahan di persekitaran kawasan ini, mudah-mudahan semuanya dapat diusahakan,” titah Paduka Baginda memetik kenyataan Baginda di Facebook Kesultanan Pahang, pada Jumaat.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan merasmikan masjid berkenaan di Kampung Telok Melano, Lundu, hari ini.

Menurut Paduka Baginda, meskipun masjid itu dibina dalam bentuk sederhana, keindahan sebenar sesebuah masjid terletak pada usaha masyarakat mengimarahkan serta menghidupkannya dengan aktiviti keagamaan.

“Masjid ini cukup sederhana, cantik dan padat. Namun, perkara yang lebih penting ialah pengisiannya mesti penuh melalui keimarahannya, kemakmurannya, kerahmatannya dan keberkatannya,” titah Baginda.

Pada majlis berkenaan, Paduka Baginda turut berkenan menandatangani plak perasmian sebelum menunaikan solat Jumaat bersama masyarakat setempat.

Turut hadir Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Dalam titahnya, Paduka Baginda turut menzahirkan rasa terharu dan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak serta penduduk setempat atas penghormatan menamakan masjid itu sempena nama Baginda.

Baginda turut berdoa agar masjid tersebut sentiasa memperoleh keberkatan, dipenuhi jemaah dan menjadi tumpuan masyarakat serta pengunjung.

Mengimbau Kembara Borneo kira-kira tiga tahun lalu, Paduka Baginda bertitah, perjalanan dari Kuching hingga ke Telok Melano meninggalkan kenangan cukup mendalam dalam ingatan Baginda.

“Saya masih terbayang-bayang rakyat yang menanti di sepanjang perjalanan. Itu adalah sejarah, tetapi yang paling penting adalah masa hadapan,” titah Baginda.

Paduka Baginda turut memuji kepimpinan Premier Sarawak yang disifatkan dinamik, berpandangan jauh serta mempunyai keprihatinan tinggi terhadap pembangunan infrastruktur dan kesejahteraan rakyat.

Menurut Baginda, rakyat Sarawak bertuah kerana idea serta perancangan yang dikemukakan kepimpinan negeri bukan sekadar dibicarakan, malah diterjemahkan menjadi kenyataan. –JELAIPOST

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.