Foto: Facebook Menteri Besar Pahang
KUALA LIPIS – Pembangunan bandar aeroangkasa dan pembesaran Pelabuhan Kuantan menjadi antara sandaran Pahang untuk memperkukuh ekonomi serta menarik lebih banyak pelaburan pada masa hadapan.
Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail berkata, perkembangan ekonomi negeri turut disokong peningkatan kegiatan perniagaan, kedatangan pelancong dan kemasukan pelabur.
Menurut beliau, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Pahang yang dinyatakan sebanyak 5.3 peratus mengatasi kadar nasional 5.1 peratus.
Beliau berkata demikian pada Program Town Hall Rakyat Sinar Harian bersama Menteri Besar Pahang yang dikendalikan hos Abu Talib Husin di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuala Lipis, malam semalam.
Wan Rosdy berkata, pembangunan bandar aeroangkasa dianggarkan melibatkan nilai antara RM30 bilion hingga RM40 bilion serta berpotensi menyediakan kira-kira 12,000 pekerjaan apabila siap sepenuhnya.
Sementara itu, pembesaran Pelabuhan Kuantan dijangka meningkatkan daya tarikan negeri kepada pelabur melalui kelebihan masa dan kos penghantaran kargo.
Beliau menyuarakan keyakinan bahawa pembangunan strategik tersebut mampu meningkatkan daya saing ekonomi Pahang dalam tempoh sedekad akan datang.
