Berita

Bendung Ketirisan, Penguatkuasaan Formula Pahang Kutip Hasil 1 Bilion Lima Tahun Beturut-Turut – Wan Rosdy

Kongsi
Wan Rosdy memberikan penjelasan sambil mengangkat kedua-dua tangan dalam sesi dialog.

KUALA LIPIS – Pahang terus mengekalkan pencapaian kutipan hasil melebihi RM1 bilion selama lima tahun berturut-turut, dipacu usaha menutup ketirisan, memperkukuh penguatkuasaan serta meningkatkan kecekapan pentadbiran dan pengurusan kewangan negeri.

Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail berkata, pencapaian itu merupakan hasil usaha berterusan seluruh jentera pentadbiran dalam memastikan sumber pendapatan negeri diurus dan dikutip dengan berkesan.

Menurutnya, tiga pendekatan utama tersebut membolehkan kerajaan negeri membendung kehilangan hasil, meningkatkan pematuhan bayaran serta memastikan kekayaan negeri memberikan pulangan kepada kerajaan.

“Angka RM1 bilion ini sudah lima tahun, Alhamdulillah. Antaranya ialah kita uruskan ketirisan, kebocoran dan dalam masa yang sama juga penguatkuasaan serta kecekapan pentadbiran, pengurusan kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Town Hall Rakyat Sinar Harian bersama Menteri Besar Pahang yang dikendalikan oleh hos Abu Talib Husin di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuala Lipis pada Isnin, 26 Oktober, malam tadi.

Program itu dianjurkan Sinar Harian dengan kerjasama Unit Komunikasi Strategik (UKS) Pahang.

Wan Rosdy berkata, kecekapan pegawai daerah dan barisan pentadbiran negeri memainkan peranan penting dalam memperkemas kutipan, termasuk bayaran berkaitan tanah serta penyelesaian tunggakan.

Selain itu, syarikat berkaitan kerajaan negeri turut menyumbang kepada pendapatan Pahang menerusi keuntungan yang disalurkan semula kepada kerajaan negeri.

Beliau menjelaskan, ketegasan penguatkuasaan juga penting bagi memastikan hasil daripada sumber negeri tidak terus bocor akibat kegiatan yang menyalahi undang-undang.

Antara yang diberikan perhatian ialah pencerobohan tanah kerajaan, pembalakan haram dan kecurian pasir yang merugikan negeri serta menjejaskan khazanahnya.

Menurutnya, meskipun tindakan penguatkuasaan mengundang rasa tidak puas hati pihak tertentu, kerajaan negeri tetap bertanggungjawab mempertahankan tanah dan sumber Pahang daripada diceroboh.

Wan Rosdy turut menghargai kerjasama seluruh pasukan pentadbiran negeri yang bersama-sama menjayakan usaha meningkatkan hasil.

“Kita bukan sahaja pasukan yang kuat, malahan kita bekerja sebagai satu keluarga,” katanya.

Beliau berkata, hasil yang dikutip akan terus dimanfaatkan untuk rakyat melalui pelbagai bantuan dan inisiatif, termasuk Inisiatif Makmur Pahang.

Pencapaian hasil yang konsisten itu membolehkan kerajaan negeri meneruskan agenda kebajikan serta menyediakan peruntukan bagi memenuhi keperluan rakyat.

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.