Berita

Pelabur Singapura Tunjuk Minat Kembangkan Teknologi Di Pahang

Kongsi
Mohamad Nizar berucap pada program Invest Malaysia Day di Singapura.

KUANTAN: Pahang menarik minat pelabur Singapura untuk mengembangkan perkhidmatan dan teknologi di negeri ini susulan penyertaan dalam program Invest Malaysia Day di republik berkenaan, Khamis lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib berkata, sambutan menggalakkan itu merupakan perkembangan positif dalam usaha menarik lebih banyak pelaburan berkualiti ke Pahang.

Menurutnya, program berkenaan membuka ruang kepada Pahang mengetengahkan kekuatan, keunikan dan potensi pelaburan negeri kepada syarikat serta pemain industri Singapura.

“Minat yang ditunjukkan oleh para pelabur, khususnya terhadap peluang untuk mengembangkan perkhidmatan dan teknologi mereka di Pahang, membuka ruang kepada Pahang mengetengahkan kekuatan, keunikan dan potensi pelaburan negeri kepada syarikat serta pemain industri Singapura,

“Satu perkembangan positif dalam usaha kita menarik lebih banyak pelaburan berkualiti ke negeri ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Sesi pembentangan kepada peserta program Invest Malaysia Day di Singapura.

Beliau menghadiri program anjuran Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Singapura dengan kerjasama CIMB dan Singapore Business Federation itu bersama pasukan Invest Pahang, Yayasan Pahang serta rakan strategik, Beyond4.

Mohamad Nizar berkata, pertemuan dengan pemain industri berkenaan turut membuka peluang kerjasama strategik yang mampu memberikan manfaat kepada ekonomi negeri.

“Pahang bersedia menjadi rakan strategik pelabur, dengan menawarkan peluang, potensi dan persekitaran yang kondusif untuk pertumbuhan perniagaan serta pembangunan ekonomi yang mampan,” katanya.

Minat terhadap pengembangan perkhidmatan dan teknologi itu membuka potensi untuk mempelbagaikan kegiatan ekonomi Pahang, selain memperluas hubungan perniagaan antara syarikat tempatan dengan pemain industri Singapura sekiranya diterjemahkan kepada pelaburan sebenar.

Program berkenaan turut dihadiri Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datin Paduka Anizan Siti Hajjar Adnin serta barisan EXCO yang bertanggungjawab terhadap portfolio pelaburan dari Pahang, Selangor dan Johor.-JELAIPOST

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.