Berita

Dewan Belia Kampung Jara Dinaik Taraf, Peruntukan Segera RM20,000

Kongsi
Fadzli Mohamad Kamal menyertai aktiviti berjalan kaki bersama penduduk Kampung Jara.

MARAN: Keperluan belia Kampung Jara, Kuala Sentul mendapat perhatian Kerajaan Pahang apabila peruntukan segera RM20,000 diluluskan bagi menaik taraf dewan belia kampung berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Fadzli Mohamad Kamal berkata, peruntukan awal itu diharap dapat disalurkan segera supaya kemudahan tersebut dapat ditambah baik untuk kegunaan anak muda setempat.

“Saya setuju untuk menaik taraf Dewan Belia Kampung Jara ini. Peruntukan awal yang kerajaan negeri salurkan adalah RM20,000.

“Saya harap dapat disalurkan segera untuk kemudahan anak muda atau belia di kampung ini,” katanya ketika ditemui sempena program Jelajah Pahang 1st di Kampung Jara.

Fadzli Mohamad Kamal bersama belia ketika meninjau kemudahan di Kampung Jara.

Bagi memperkukuh gerakan belia setempat, beliau turut meminta Majlis Belia Daerah Maran membantu menyegerakan penubuhan pertubuhan belia di kampung itu.

Katanya, langkah tersebut akan memudahkan kerajaan negeri menyalurkan sokongan terhadap kegiatan dan program yang digerakkan golongan berkenaan.

Dalam lawatan sama, Fadzli meninjau kemudahan sukan, dewan belia dan menara telekomunikasi, selain memberi perhatian terhadap keperluan mempercepat pemasangan talian Unifi untuk penduduk.

Beliau meminta ketua kampung mengumpulkan senarai keperluan serta permohonan penduduk sebelum dikemukakan kepada Telekom Malaysia (TM) bagi tindakan lanjut.

“Saya minta ketua kampung untuk buat senarai keperluan dan permohonan daripada rakyat itu sendiri. Saya minta tindakan segera.

“Jadi senarai itu kita akan serahkan kepada TM,” katanya.

Petugas meninjau kemudahan telekomunikasi sempena Jelajah Pahang 1st di Kampung Jara.

Menurutnya, akses internet kini menjadi keperluan utama dalam kehidupan seharian, terutama bagi urusan dalam talian, dan kemudahan itu sewajarnya turut dinikmati masyarakat kampung.

Terdahulu, beliau menyertai aktiviti berjalan pantas atau brisk walk sejauh lebih tiga kilometer bersama penduduk bagi menggalakkan amalan gaya hidup sihat.

Katanya, aktiviti itu memberi peluang kepada masyarakat daripada pelbagai peringkat umur untuk beriadah dan bergiat aktif bersama-sama.

“Kita nak galakkan semua lapisan masyarakat, tak kira pelbagai peringkat umur, untuk sama-sama mengamalkan gaya hidup sihat,” katanya.-JELAIPOST

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.