ROMPIN: Pengunjung Pantai Pusat Taman Laut Pulau Tioman dinasihatkan supaya lebih berhati-hati ketika melakukan aktiviti air susulan laporan pengesanan obor-obor di perairan kawasan berkenaan.
Pejabat Perikanan Negeri Pahang dalam satu kenyataan mengeluarkan amaran pihaknya menerima laporan mengenai kehadiran hidupan laut itu, sekali gus mengingatkan pengunjung supaya mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan sengatan.
“Semua pengunjung dinasihatkan agar lebih berhati-hati semasa menjalankan aktiviti riadah pantai, snorkeling atau selam skuba,” menurut kenyataan tersebut.
Pengunjung turut disarankan memakai pakaian yang menutupi keseluruhan badan atau pakaian bersesuaian sebagai langkah perlindungan ketika menjalankan aktiviti berkenaan.
Menurut kenyataan itu, individu yang terkena sengatan perlu segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital berhampiran.
Amaran yang tertera atas arahan Pengarah Perikanan Negeri Pahang itu tidak memperincikan spesies obor-obor yang dikesan atau jumlah kejadian sengatan.
