KUALA LUMPUR, 13 Okt – Isu pendakwaan semula Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kembali menghangatkan hubungan politik antara pemimpin dua parti dalam Kerajaan Perpaduan apabila UMNO tampil menyanggah desakan Ahli Parlimen Jelutong daripada DAP, RSN Rayer.
Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan Pendakwa Raya dan tidak seharusnya didesak untuk menentukan tindakan pendakwaan terhadap mana-mana individu.
Kenyataan itu menyusul selepas Rayer, ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat semalam, mempersoalkan mengapa Ahmad Zahid masih belum didakwa semula berhubung 47 pertuduhan berkaitan dana Yayasan Akalbudi.
Rayer turut membangkitkan dakwaan mengenai pendakwaan terpilih, sekali gus meletakkan isu berkenaan kembali dalam perdebatan politik kerajaan.
Menurut Azalina, Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan jelas memperuntukkan kuasa kepada Peguam Negara untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan sesuatu prosiding jenayah mengikut kerangka undang-undang.
“Perdana Menteri bukan Pendakwa Raya,” tegasnya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau mengingatkan bahawa prinsip menolak campur tangan politik dalam institusi pendakwaan tidak boleh diamalkan secara terpilih, termasuk apabila keputusan yang dibuat tidak memenuhi kehendak pihak tertentu.
Katanya, seseorang tidak boleh pada satu ketika menuntut kebebasan badan pendakwaan, tetapi pada masa sama mendesak Perdana Menteri memastikan pertuduhan dikenakan semula terhadap individu tertentu.
Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) menegaskan, dakwaan pilih kasih perlu dibuktikan berdasarkan fakta, bukan sekadar perbezaan keputusan antara sesuatu kes.
Dalam kes Yayasan Akalbudi, Ahmad Zahid diberikan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) pada September 2023 sebelum Jabatan Peguam Negara mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) pada Januari lalu.
Bagaimanapun, pertikaian undang-undang berhubung keputusan pendakwaan itu masih melalui proses mahkamah.
Azalina menjelaskan bahawa Mahkamah Persekutuan telah membenarkan permohonan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Badan Peguam Malaysia memulakan prosiding semakan kehakiman.
Justeru, beliau menegaskan bahawa persoalan undang-undang yang masih dipertikaikan hendaklah diputuskan melalui proses kehakiman, bukannya tekanan politik.
UMNO, katanya, tidak mempertahankan kekebalan mana-mana pemimpin daripada tindakan undang-undang, sebaliknya menuntut setiap individu diberikan proses keadilan yang sewajarnya.
“Tiada sesiapa yang harus diberikan kekebalan daripada undang-undang hanya kerana jawatan atau kedudukan politik,” katanya.
Polemik antara Rayer dan UMNO itu turut memperlihatkan bagaimana isu pendakwaan Ahmad Zahid terus menjadi perbahasan dalam kalangan pemimpin parti yang bersama-sama mendukung Kerajaan Perpaduan.
Bagi UMNO, persoalannya bukan sama ada sesuatu keputusan pendakwaan boleh dikritik, tetapi sama ada tekanan politik boleh dijadikan asas untuk menentukan siapa yang perlu dibawa semula ke mahkamah.-JELAIPOST